SEREMBAN: Kerajaan negeri hari ini meminta larangan kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan memasuki pejabat atau menjalankan tugas sebagai Exco kerajaan negeri dinilai semula kerana ia akhirnya akan menjejaskan rakyat.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, kerajaan negeri dan pentadbiran kerajaan perlu terus berjalan dengan meletakkan rakyat sebagai kepentingan utama.
Katanya, sekiranya Exco tidak dibenarkan untuk masuk ke pejabat, mengadakan mesyuarat dan melaksanakan tugas mereka, ia boleh dianggap sebagai menafikan hak rakyat.
“Ini kerana kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan yang sah, dipilih oleh rakyat dan pelantikan Exco adalah sah.
“Sekiranya ada pemecatan dan sebagainya mestilah tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang mana salah satu daripada ialah pemecatan Exco mestilah di atas nasihat oleh Menteri Besar. Sekiranya ini tidak ada, kita anggap pemecatan itu tidak berperlembagaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Seramai sembilan Ahli Exco kerajaan negeri hadir pada sidang akhbar itu kecuali Datuk Mohd. Faizal Ramli yang dilaporkan menunaikan umrah.
Ismail berkata, beliau dimaklumkan bahawa ada perintah larangan atau arahan yang melarang ahli-ahli Exco memasuki pejabat masing-masing sejak semalam.
“Saya juga difahamkan bahawa bukan setakat tidak boleh memasuki pejabat Exco di Wisma Negeri tetapi tidak boleh menjalankan tugas-tugas sebagai ahli Exco.
“Tidak ada surat rasmi yang memaklumkan larangan berkenaan dan semua ahli Exco hanya diberitahu secara mulut,” ujarnya.
Ketika diminta menjelaskan siapa atau pihak mana yang mengeluarkan larangan itu, Ismail enggan menyatakannya secara terus terang.
“Pihak berkuasa,” katanya.
Ismail menarik perhatian, permohonan beliau supaya pihak berkuasa yang berkenaan menilai semula larangan itu dengan segera perlu mengambil kira bahawa pertikaian yang sedang berlaku ketika ini masih belum dimuktamadkan selain keperluan memastikan urusan rakyat dan pentadbiran negeri tidak terganggu.
Jelasnya, permohonan itu dibuat melalui saluran yang tertib tanpa menghalang pihak berkuasa menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan semua pihak.
“Saya menyeru semua pihak agar memberi ruang kepada kerajaan negeri dan proses perundangan untuk menyelesaikan pertikaian ini. Kerajaan negeri akan terus bertindak secara beradab, menghormati institusi diraja Negeri Sembilan dan mengutamakan kepentingan rakyat,” ujarnya.-UTUSAN











