KOTA BHARU: Penurunan harga emas semasa kepada RM580 satu gram menyaksikan premis perniagaan barangan kemas itu diserbu golongan wanita di negeri ini untuk mendapatkannya.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, ada premis menjual lebih 1.5 kilogram logam itu sepanjang cuti persekolahan dan sambutan hari kemerdekaan, hujung bulan lalu.
Jurucakap MZ Gold Sdn. Bhd, berkata, kejatuhan harga emas semasa ketika ini mendorong kepada peningkatan jualan.
Katanya, jumlah 1.5 kg itu merangkum emas baharu dan terpakai yang menjadi pilihan pelanggan.
“Tren kali ini agak berbeza apabila 70 peratus yang dijual itu adalah emas baharu dan selebihnya terpakai.
“Walaupun emas terpakai, reka bentuknya masih lagi relevan dan mampu menarik minat para pembeli. Harga emas baharu ketika ini adalah sekitar RM580 satu gram, bergantung kepada jenis dan reka bentuk barang kemas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jurucakap itu berkata, penurunan harga semasa turut membuka peluang kepada pelanggan mendapatkan emas pada harga yang lebih berpatutan.
Katanya, perkembangan itu menunjukkan permintaan terhadap emas masih mendapat sambutan dalam kalangan pelanggan walaupun keadaan harga komoditi berkenaan sentiasa berubah.
Sementara itu, Zakiah Zakaria, 48, berkata, dia mengambil kesempatan di sebalik kejatuhan harga emas ketika ini untuk menambah koleksi barang kemas.
Katanya, kejatuhan logam itu memberi ruang mendapatkan reka bentuk baharu yang lebih menarik pada harga yang lebih murah.
“Ini adalah pelaburan jangka panjang, jadi rugi kalau kita tidak merebutnya,” ujarnya. – UTUSAN










