Guru dan murid SK Sungai Koyan, Lipis meriahkan Maulidur Rasul

Guru dan murid SK Sungai Koyan, Lipis meriahkan sambutan Maulidur Rasul

Sebanyak lapan pasukan terdiri daripada guru dan murid Sekolah Kebangsaan Sungai Koyan dan masyarakat setempat berarak membawa sepanduk dan berselawat sempena sambutan Maulidur Rasul di Sungai Koyan, Lipis, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP tahun umat Islam akan meraikan sambutan Maulidur Rasul dengan mengadakan pelbagai aktiviti yang mampu mengingatkan kita kepada jasa serta pengorbanan Nabi Muhammad SAW merupakan rasul yang terakhir.

Cuti umum sehari diberikan kepada golongan pendidik dan pelajar cukup bermakna bagi mengisi masa berharga dengan beramai-ramai keluar berarak, berselawat serta aktiviti lain yang memfokus kepada penghayatan sejarah kelahiran Rasulullah dan menzahirkan rasa cinta kepada baginda.

Hal ini telah dimanfaatkan oleh seramai 49 orang guru dan 621 orang murid telah mengadakan Program Sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Koyan, Lipis, Pahang baru-baru ini.

Bercakap kepada Utusan Pelajar, Guru Besar SK Sungai Koyan, Mohd Shawaluddin Abu berkata, program itu bukan sekadar memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW, malahan merupakan peluang bagi guru dan murid di situ menghayati dan meneladani akhlak serta nilai murni baginda dalam kehidupan harian.

“Sambutan kali kedua sejak tahun lalu, juga relevan dapat menitip nilai amanah, jujur, sabar, berdisiplin, ihsan dan bertanggungjawab untuk panduan dalam kehidupan kalangan warga sekolah ini.

“Murid di sini juga dapat mendalami sejarah kelahiran serta perjuangan Rasulullah mengembangkan syiar Islam sekali gus sebagai panduan mereka menjadi insan yang cemerlang dalam pelajaran serta berakhlak mulia,” katanya di Sungai Koyan, Lipis baru-baru ini.

 

Menurut Mohd Shawaluddin, kemuncak sambutan itu, iaitu perarakan membawa sepanduk sambil berselawat ke atas junjungan Nabi melibatkan lapan buah pasukan sejauh 0.6 kilometer bermula dari Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Sungai Koyan menuju ke sekolah tersebut.

Katanya, kumpulan selawat itu disertai oleh pelajar Maahad Tahfiz Darul Fikri Al-Mahmudiah, Tempoyang, Kuala Lipis dan komuniti Felda Sungai Koyan.

 

Beliau berkata, sambutan Maulidur Rasul sekolah itu turut dimurnikan dengan majlis ilmu dengan ceramah berkaitan Maulidur Rasul yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Kolej Vokasional Pertanian Chenor, Mohd. Razali Kamarudin.

Sementara itu, penyelaras program, Muzainah Ghani menjelaskan sambutan itu merupakan kali kedua bermula tahun lalu secara besar-besaran lagi meriah membabitkan penyertaan kalangan ibu bapa Felda Sungai Koyan dan tetamu termasuk pelajar tahfiz.

“Pengisian aktiviti sambutan ini mampu mengingatkan kita kepada jasa dan pengorbanan Nabi Muhammad SAW yang merupakan nabi dan rasul terakhir mengikut ajaran Islam.

“Pelajar akan maklum setiap tahun pada 12 Rabiulawal tahun Hijrah merupakan hari bagi umat Islam menzahirkan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW apabila pihak pentadbir sekolah dan guru akan menyusun beberapa acara seperti perarakan, ceramah agama dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Pendidikan Lipis, Shahnam Abd Rashid berkata, sambutan Maulidur Rasul di peringkat sekolah sangat signifikan bagi guru dan pelajar sebagai sambutan mengingati peristiwa kelahiran Nabi Muhamad SAW serta meneladani sikap dan pemikiran Rasulullah.

“Dengan memahami sirah kehidupan Nabi sudah tentu dapat membina pemikiran positif dalam kalangan pelajar, pembentukan insan berakhlak serta berilmu sekali gus berjaya dalam kehidupan masing-masing pada masa akan datang,” katanya.

Ujarnya, aktiviti seperti perarakan sepanduk, berselawat dan ceramah dapat menyemai rasa cinta terhadap Nabi juga satu momentum untuk mentadabbur cara hidup baginda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×