Gaji tenaga kerja berkemahiran tinggi TVET mampu cecah RM16,000 sebulan

Gaji tenaga kerja berkemahiran tinggi TVET mampu cecah RM16,000 sebulan

RAMANAN menyempurnakan Majlis Konvokesyen Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) di PICC, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini mampu meraih pendapatan bulanan mencecah RM16,000, berbanding sekitar RM12,000 sebelum ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, perkembangan itu sekali gus menujukkan graduan TVET kini menjadi rebutan industri di negara ini.

Beliau melihat penerimaan industri terhadap graduan TVET semakin positif dan ia sekali gus membuka peluang lebih luas kepada golongan itu untuk meraih gaji lumayan.

“Minggu lalu atau dua minggu sebelum ini, saya diberitahu gaji TVET ini boleh sampai RM16,000. Jadi ia sedang naik. Harapan ada di situ, peluang ada di situ,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) ke-17 di sini, hari ini.

Katanya, sekitar setahun lalu, gaji tenaga kerja mahir dalam bidang TVET dilaporkan sekitar RM8,000 hingga RM12,000, dengan hanya sebahagian kecil mencapai paras tertinggi itu.

Ramanan berkata, peningkatan itu membuktikan graduan TVET mempunyai peluang besar membina kerjaya selaras keperluan industri yang semakin berkembang.

Pada masa sama, beliau menasihatkan graduan supaya tidak bimbang dengan perkembangan kecerdasan buatan (AI) dan automasi kerana teknologi itu tidak bermakna manusia akan kehilangan tempat dalam dunia pekerjaan.

“Ramai yang tertanya-tanya bila kita lihat apa yang sedang berlaku dalam dunia yang sedang berkembang dan maju.

“Sebenarnya kita tidak perlu bimbang langsung. Kita kena ikut perkembangan zaman dan mengejar apa yang ada di depan kita,” katanya.

Katanya, manusia masih diperlukan untuk membangunkan, memprogram dan mengendalikan teknologi serta sistem automasi yang semakin digunakan dalam industri.

Sehubungan itu, Ramanan berkata, beliau menggesa graduan TVET supaya terus meningkatkan kemahiran menerusi usaha meningkatkan kemahiran sedia ad dan mempelajari kemahiran baharu supaya kekal relevan dalam pasaran pekerjaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×