KUALA LUMPUR: Industri pembikinan dron dan kamera terus berkembang pesat seiring dengan kemajuan kecerdasan buatan (AI) dan perluan terhadap gajet berkenaan.
Permintaan terhadap dron dan kamera yang kian berkembang turut menyaksikan evolusi dalam pembikinan gajet berkenaan bagi menghasilkan imej berkualiti tinggi.
Jika di awal pembikinannya, dron dan kamera hanya digunakan untuk majlis khusus, namun, kini penggunaan dron dan kamera terus berkembang menuntut kepada perkakasan lebih canggih dan terkini.
DJI Malaysia antara peneraju global dalam teknologi dron awam dan kamera kreatif. Baru-baru ini, syarikat itu memperkenalkan DJI Osmo 360 II di pasaran tempatan yang dilengkapi teknologi pengimejan panorama terbaharu.
Kamera generasi baharu itu dibangunkan berasaskan lebih dua dekad kepakaran dan inovasi syarikat dalam industri menggabungkan teknologi kawalan herotan daripada fotografi udara.
Ia turut merangkumi penstabilan daripada siri gimbal profesional Ronin serta kepakaran sains warna yang diperkembangkan melalui beberapa generasi kamera Osmo Action.
“DJI Osmo 360 II menawarkan keupayaan pengimejan yang lebih canggih untuk pengalaman rakaman 360° yang dipertingkatkan.
“Penderia imej HDR segi empat terkini pada DJI Osmo 360 II meningkatkan penggunaan sensor sebanyak 25 peratus sekali gus mengurangkan penggunaan kuasa sambil memastikan rakaman kekal jelas dan bersih sama ada pada waktu siang atau malam,” katanya dalam kenyataan.
DJI Malaysia memberitahu, pihaknya komited untuk membina dunia yang lebih baik dengan terus memacu kemajuan manusia berbekalkan pendekatan berorientasikan penyelesaian dan semangat ingin tahu yang tinggi.
“Kami turut memperluaskan kepakarannya ke dalam pelbagai bidang seperti tenaga boleh diperbaharui, pertanian, keselamatan awam, ukur dan pemetaan serta pemeriksaan infrastruktur.
Katanya, kamera itu juga boleh digunakan terus untuk merakam di bawah air sehingga kedalaman 10 meter tanpa memerlukan sarung tambahan.
Malah katanya, kamera itu turut boleh digunakan dalam suhu serendah -20 celcius dan rakaman boleh dimulakan dengan hanya memusingkan tongkat swafoto dua kali dan boleh mendapatkan perspektif seakan-akan rakaman dari udara untuk menghasilkan rakaman yang lebih sinematik.
“Bagi pengguna berbasikal, teknologi penstabilan berkuasa membantu menghasilkan rakaman yang lebih stabil walaupun melalui laluan tidak rata.
“Pengguna juga boleh menambah Sports Dashboard untuk memaparkan data perjalanan dan menjadikan video berbasikal lebih menarik.
“Kamera ini memudahkan pengguna merakam video swafoto secara bersendirian, dengan Tongkat Swafoto Halimunan bertindak seperti kru kamera peribadi,” katanya. – UTUSAN










