'DUN dibubar tidak lama lagi, tempoh tidak terlalu panjang'

‘DUN dibubar tidak lama lagi, tempoh tidak terlalu panjang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh memberi bayangan bahawa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka tidak lama lagi.

Ab. Rauf berkata, pihaknya tidak boleh menunggu terlalu lama untuk membubarkan DUN dan pengumuman mengenainya hanya akan dibuat apabila tiba masanya.

“Apabila tiba waktunya nanti, saya akan umumkan. Namun, tempohnya tidak terlalu panjang dan tidak terlalu pendek.

“Sudah pasti kita tidak boleh menunggu terlalu lama untuk membubarkan Dewan kerana tarikh akhirnya semakin hampir. Insya-Allah,” katanya ketika ditemui selepas melawat Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Ab. Rauf yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah dimulakan sejak dua tahun lalu.

“Gerak kerja kita sudah bermula sejak dua tahun lalu. Kita cuma menunggu masa untuk melabuhkan tirai gerak kerja ini sebelum memulakan proses pembubaran Dewan.

“Sebarang rundingan dengan parti politik yang berminat untuk menyertai pentas demokrasi Melaka hanya akan dibuat selepas DUN dibubarkan,” katanya.

Dalam pada itu, Ab. Rauf berkata, BN tetap akan bertanding dan mempertahankan 21 kerusi yang dimenangi pada PRN Melaka serta tidak akan berkongsi kawasan berkenaan dengan parti lain.

Beliau berkata, bagi tujuh kerusi lain, parti yang memenanginya boleh bertanding dan mempertahankan kawasan masing-masing.

“Kita tetap akan bertanding di 21 kerusi. Kita tidak boleh berkompromi untuk berkongsi 21 kerusi yang kita menangi dengan orang lain.

“Kita bertanding di kawasan kita. Bagi tujuh kerusi itu, parti yang menang, bertandinglah dan pertahankanlah kerusi mereka. Kita pula mempertahankan kerusi yang kita menang,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×