MELAKA: Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 dibubarkan berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan paling awal pertengahan Oktober.
Penggal DUN Ke-15 sepatutnya berakhir 27 Disember ini sejak dibentuk kira-kira empat tahun sembilan bulan lalu.
Pengumuman pembubaran itu dibuat oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh selepas mempengerusikan mesyuarat terakhir Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Auditorium Seri Negeri di sini, semalam sekali gus menamatkan spekulasi ‘dua kali Jumaat’ dan ‘Jumaat terakhir’ sebelum ini.
Ini bermakna PRN Ke-16 mungkin diadakan pada pertengahan Oktober ini atau selewatnya-lewatnya 23 November iaitu dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.
Perkembangan itu juga memberi isyarat kepada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), tempoh rundingan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) kian suntuk.
Dalam PRN Ke-15 pada 20 November 2021, BN menang 21 daripada 28 kerusi diikuti PH lima kerusi dan PN, dua kerusi.
Konflik dalaman melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis susulan peralihan kerusi Ketua Menteri daripada ADUN Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali kepada Ab. Rauf pada Mac 2023 menyaksikan Muhammad Jailani keluar daripada UMNO dan menyertai Pas.
Ini menjadikan komposisi penyandang kerusi DUN Melaka adalah BN (20), PH (5) dan PN (3).
Ab. Rauf yang juga ADUN Tanjung Bidara berkata, beliau telah menghadap Yang Dipertua Negeri, Tun Dr. Mohd. Ali Mohd. Rustam pada Ahad lalu sebelum Mohd. Ali berangkat ke Jepun bagi mengemukakan cadangan pembubaran DUN dan mendapat perkenan.
Beliau berkata, pembubaran berkuat kuasa 23 September 2026 itu menamatkan penggal DUN Melaka Ke-15 dan kini perhatian beralih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh penamaan calon serta hari pengundian.
Katanya, proses seterusnya akan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang dan ketetapan pihak berkuasa berkaitan.
Beliau memberi jaminan bahawa pembubaran DUN tidak akan menjejaskan urusan pentadbiran dengan kerajaan negeri akan terus berfungsi sebagai kerajaan sementara (caretaker government) sehingga sebuah kerajaan negeri baharu dibentuk selepas pilihan raya.
“Pentadbiran Negeri Melaka, penyampaian perkhidmatan awam, urusan kebajikan rakyat, keselamatan serta perkhidmatan harian kerajaan terus berjalan seperti biasa.
“Dalam tempoh tersebut, keutamaan kita adalah memastikan pentadbiran negeri kekal teratur, perkhidmatan kepada rakyat tidak terganggu dan kepentingan rakyat terus terpelihara,” katanya.
PRN Melaka Ke-15 diadakan selepas empat ADUN kerajaan menarik sokongan terhadap kepemimpinan Sulaiman pada 4 Oktober 2021.
Empat ADUN terlibat ialah bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).
Semalam, Ab. Rauf turut menyerahkan Warkah Pembubaran DUN Melaka kepada Pengarah SPR negeri, Rudy Rohan Johan.
Ab. Rauf turut merakamkan penghargaan kepada Mohd. Ali atas perkenan pembubaran DUN, selain menghargai kerjasama semua ahli MMKN, wakil rakyat serta agensi kerajaan sepanjang tempoh pentadbirannya.
“Kalau tanya saya, saya amat berpuas hati dengan semua wakil rakyat yang telah memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Melaka dalam konsep ‘Melaka Sayang Rakyat’,” katanya.
Ab. Rauf enggan menjawab sama ada barisan wakil rakyat sedia ada akan dikekalkan atau diganti dengan muka baharu dengan alasan keputusan mengenai calon memerlukan pertimbangan pelbagai faktor.
“Tak bolehlah hari ini saya nak beritahu, hari ini saya bubar, hari ini saya nak beritahu siapa calon. Tak bolehlah, tak adillah pada saya,” katanya.
Mengenai keputusan memilih 23 September sebagai tarikh pembubaran, Ab. Rauf berkata, kerajaan negeri mengambil kira pelbagai faktor termasuk kemungkinan berlaku bencana alam seperti banjir.
Beliau berkata, pemilihan tarikh pilihan raya pula bergantung kepada SPR selepas pihaknya menyerahkan Warkah Pembubaran DUN Melaka untuk tindakan selanjutnya.
Dalam pada itu, Ab. Rauf berkata, BN Melaka masih belum memuktamadkan sama ada akan bergerak solo atau membentuk kerjasama dengan parti lain pada PRN kali ini.
“Kita selesaikan ini dulu lah (pembubaran DUN). Selepas itu nanti baru kita cerita pasal parti, mana hala tuju kita.
“Saya pastinya akan ada rundingan-rundingan dengan mana-mana parti yang terlibat dan kita nak menguruskan negeri ini untuk rakyat Melaka, demi rakyat, untuk rakyat,” katanya.
Ab. Rauf berkata, sebarang keputusan berkaitan kerjasama politik perlu dibuat selepas proses rundingan dengan pihak yang berminat diselesaikan, sebelum diputuskan mengikut saluran parti.
Katanya, pendirian itu selari dengan kenyataannya sebelum ini bahawa BN Melaka terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak menerusi formula ‘BN Plus’, namun rundingan rasmi hanya akan dilakukan selepas pembubaran DUN.
Sementara itu, SPR akan mengadakan mesyuarat bagi menentukan tarikh PRN Melaka selepas menerima pemakluman pembubaran DUN.
Ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam, Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pihaknya belum menerima pemakluman mengenai perkara tersebut.
“Setakat ini, SPR belum menerima sebarang pemakluman mengenai pembubaran DUN Melaka,” katanya. – UTUSAN











