NARATHIWAT (THAILAND): Selepas 22 tahun hidup dalam mimpi ngeri, sudah tiba masanya konflik bersenjata di Selatan Thailand dihentikan dan impian mewujudkan keamanan menjelang 2027 direalisasikan demi rakyat di tiga wilayah terbabit.
Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Perdana Menteri, Wan Muhammad Noor Matha berkata, semua pihak perlu menilai semula sama ada keganasan yang berlarutan di Narathiwat, Pattani dan Yala selama lebih dua dekad benar-benar membawa kebaikan kepada rakyat.
“Saya ingin bertanya, apakah sudah cukup? Apakah 22 tahun penduduk di tiga wilayah sempadan selatan hidup dalam mimpi ngeri dan cukup menderita?
“Apakah sudah cukup lebih 500 bilion baht (RM61.9 bilion) telah dibelanjakan untuk harta benda yang rosak dan puluhan ribu nyawa yang terkorban?
“Saya fikir sudah tiba masanya untuk semua pihak bekerjasama. Kaji semula masa lalu, kemudian fikirkan semula dan berinovasi untuk mencapai keamanan dan ketenteraman yang berkekalan, seperti di kawasan lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Wan Muhammad Noor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemantau Proses Dialog Damai Selatan Thai bagi pihak kerajaan Thailand berkata, masalah di wilayah berkenaan sudah terlalu lama berlarutan dan menghalang pembangunan.
“Sebenarnya, masalah ini bukan berasal daripada rakyat itu sendiri. Masalah yang ada dicipta oleh orang lain, sehingga menghalang pembangunan,” ujarnya.
Sementara itu, Wan Muhammad Noor enggan mengulas mengenai kenyataan Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) yang memohon autonomi penuh serta menjadikan tiga wilayah itu sebagai satu iaitu Patani.
Penasihat Parti Prachachat itu berkata, semua pihak tidak seharusnya mewujudkan imej konflik ganas untuk kepentingan diri sendiri, sebaliknya berusaha membina keamanan dan keselamatan untuk semua termasuk penduduk tempatan serta orang luar yang datang menjalankan perniagaan.
“Apabila Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul berunding, saya memberikan fakta kerana saya penduduk tempatan. Saya tidak cuba untuk menunjukkan pengetahuan atau kepintaran saya.
“Sama ada Perdana Menteri mempercayai saya atau tidak adalah perkara lain. Sama ada ia menyenangkan atau tidak menyenangkan orang lain, ia sukar dikawal.
“Tetapi niat saya adalah untuk memastikan keselamatan negara. Apabila keselamatan dicapai, peluang untuk pembangunan akan muncul,” katanya. – UTUSAN










