GEORGE TOWN : Sebuah bilik darjah hampir musnah dalam satu kebakaran di sebuah sebuah sekolah menengah jenis kebangsaan (Cina) di Ayer Itam di sini, kira-kira pukul 7.54 malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan.
“Sepasukan anggota bomba sebelum itu telah dikerah ke lokasi bagi melakukan kerja-kerja pemadaman api sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran tersebut.
“Operasi tersebut tamat kira-kira pukul 9.22 malam dan kes kemudian diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini, hari ini.-UTUSAN











