KUALA LUMPUR: Pelakon, Diana Danielle, tidak menafikan mempunyai hasrat untuk melangkah ke gerbang perkahwinan bersama kekasihnya yang juga usahawan, Bern.
Bagaimanapun, menurut Diana atau Diana Danielle Danny Beeson, 34, dia enggan terburu-buru kerana banyak perkara perlu difikirkan sebelum melalui alam rumah tangga sekali lagi.
“Bila sudah ada kad, saya akan edarkan. Perancangan (kahwin) itu sebenarnya ada, bila berkawan pun, semua itu ke arah mana?
“Sudah tentu ke arah perkahwinan dan jenjang pelamin tetapi ada banyak perkara yang saya perlu fikir, jadi kena lebih strategik. Kalau tak bahagia, tak payahlah (teruskan hubungan). Jangan buang masa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semasa malam gala filem Terbang di TGV KLCC, semalam.
Mengulas mengenai kebaikan diberikan Bern, penyanyi Penyembuh Kalbu itu bersyukur kerana jejaka itu banyak memudahkan urusannya termasuklah menemaninya jika harus pulang kerja lewat malam.
“Saya sangat hargai setiap kali dia hadir dan beri sokongan tetapi tidak pernah sekali pun cuba nak curi ‘spotlight’ atau tampil ke hadapan.
“Ketika saya menjalani penggambaran dan perlu pulang lewat malam seorang diri, dia sentiada ada menemani.
“Bagi saya, itu membuktikan dia seorang lelaki yang saya boleh harapkan,” katanya.
Ibu kepada dua anak itu berkata, dia mahu terus bekerja untuk memastikan cahaya matanya memperoleh kehidupan yang baik.
“Semangat bekerja saya datang untuk membina kehidupan lebih stabil buat anak-anak, keluarga masih memerlukan saya.
“Selagi dia (Bern) hanya sebagai teman lelaki, semangat dan visi tentang masa depan untuk hidup adalah 100 peratus daripada keluarga, anak-anak dan diri sendiri,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Diana kini membintangi filem biopik Terbang mengisahkan perjalanan lagenda sukan rali, Karamjit Singh.
Filem ini bakal menemui penonton pada 17 September depan. -UTUSAN










