KUALA LUMPUR: Mana-mana tidak wajar mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyegerakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) pada masa ini.
Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Kolej Undang-Undang, Kerajaan & Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Misrinah Misban berkata, ini kerana, Anwar kini sedang dalam fasa membersihkan negara dari segala salah laku dan perbuatan rasuah oleh pimpinan terdahulu.
“Sepatutnya semua pihak menghargai usaha ini dan tidak mengeluarkan kenyataan yang tidak membantu, beri Anwar peluang untuk bersihkan negara.
“Apa yang sedang Perdana Menteri lakukan ini sangat penting untuk kemajuan masa akan datang walaupun ada pihak yang melihat ia sebagai bermotif politik,” jelasnya hari ini.

Sebelum ini, Timbalan presiden Amanah, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, Perdana Menteri digesa tidak melayan desakan UMNO supaya PRU diadakan lebih awal kerana masih banyak agenda rakyat khususnya berkaitan ekonomi serta kesejahteraan yang perlu diberikan keutamaan.
Mujahid berkata, baki penggal pentadbiran kerajaan masih berbaki sehingga penghujung 2027 menjadi tempoh penting untuk kerajaan melaksanakan semua agenda tersebut.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Seremban berkata, Dr. Mazlan Che Soh berkata, tidak ada keperluan untuk terlalu tergesa-gesa mendesak supaya PRU16 diadakan lebih awal selagi kerajaan pada hari ini masih stabil dan mempunyai mandat untuk mentadbir.
Katanya, pilihan raya adalah proses demokrasi yang penting, tetapi pentadbiran negara tidak seharusnya sentiasa berada dalam mod pilihan raya.
Beliau menjelaskan, kerajaan pimpinan Anwar perlu diberikan ruang untuk menyelesaikan agenda yang sedang dilaksanakan, khususnya dalam memperkukuh tatakelola, membanteras rasuah dan salah guna kuasa serta menutup ruang ketirisan dalam sistem pentadbiran negara.
“Usaha membersihkan negara tidak boleh dilihat hanya dalam konteks menangkap atau mendakwa individu tertentu, tetapi lebih penting ialah membina sistem dan institusi yang dapat mencegah perkara sama daripada berulang pada masa hadapan.
“Sebab itu reformasi seperti memperkukuh ketelusan perolehan kerajaan, kebebasan maklumat, mekanisme semak dan imbang serta akauntabiliti institusi perlu diberikan masa untuk diselesaikan dan kemudian dinilai keberkesanannya,” katanya.

Pada masa sama, katanya, memberi ruang kepada Perdana Menteri menyelesaikan agenda ini bukan bermaksud kerajaan diberikan cek kosong. Kerajaan tetap perlu dipantau oleh Parlimen, media, masyarakat sivil dan rakyat.
Katanya, setiap tindakan penguatkuasaan juga mesti berasaskan undang-undang, bukti dan proses yang adil tanpa mengira kedudukan atau latar belakang seseorang.
“Justeru, saya melihat keutamaan sekarang sepatutnya diberikan kepada kestabilan pentadbiran, pemulihan ekonomi, kesejahteraan rakyat serta penyempurnaan reformasi institusi.
“Apabila tiba PRU16 nanti, rakyat mempunyai hak sepenuhnya untuk menilai sama ada kerajaan ini benar-benar berjaya melaksanakan apa yang dijanjikan.
“Lebih baik kerajaan dinilai berdasarkan hasil reformasi yang sempat dilaksanakan daripada kita memendekkan tempoh pentadbiran semata-mata kerana percaturan politik jangka pendek,” katanya. – UTUSAN









