KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendedahkan ada dalam kalangan pemilik mewah tampil mewah dan bergaya tetapi culas memperbaharui cukai jalan serta insurans.
Perkara itu dikesan menerusi Op Luxury sepanjang tempoh Jun 2025 sehingga semalam apabila 3,790 kenderaan disita disita.
Lebih mengejutkan, terdapat pemilik kenderaan mewah yang tidak memperbaharui cukai jalan dan insurans sejak 2014, bermakna kenderaan berkenaan berada di jalan raya tanpa perlindungan insurans dan cukai jalan yang sah untuk tempoh bertahun-tahun.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, ia adalah antara kesalahan paling banyak dilakukan pemilik kenderaan mewah yang terdiri daripada golongan T20 termasuk ahli korporat, usahawan kosmetik dan pempengaruh.
“Paling mengejutkan adalah ada antara pemilik kenderaan mewah ini tidak memperbaharui cukai jalan dan insurans sejak tahun 2014 lagi. Bayangkan berapa lama kenderaan itu berada di atas jalan tanpa cukai jalan dan insurans,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JPJ Kelantan, Panji, di sini hari ini.
Muhammad Kifli berkata , Op Luxury dilancarkan bagi memastikan semua kenderaan mewah yang berada di jalan raya mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan.
Katanya, JPJ turut mengesan alasan baharu diberikan pemilik kenderaan mewah, iaitu enggan memperbaharui cukai jalan dan insurans kerana mempunyai rekod kesalahan lampau.
“Kesalahan lampau yang paling banyak dikesan adalah gagal mematuhi ketetapan had laju atau mempunyai saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS).
“Kalau pemilik kenderaan daripada golongan berpendapatan rendah boleh menyelesaikan saman dan memperbaharui cukai jalan, kenapa pemilik kenderaan mewah ini tidak boleh berbuat demikian?
“Sedangkan mereka terdiri daripada golongan T20 tetapi enggan memperbaharui cukai jalan dan insurans. Lebih penting, tidak membayar saman yang telah dikenakan kepada mereka. Ini kesalahan serius,” ujarnya. – UTUSAN










