KANGAR: Benih tidak berkualiti atau kelewatan pembekalan, baja dan masalah saliran serta infrastruktur menjadi faktor utama kepada pengeluaran padi tidak bermutu tinggi sehingga merugikan pesawah.
Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban berkata, benih tidak berkualiti antaranya boleh menyebabkan pertumbuhan tidak sekata, pokok padi di peringkat awal lemah, padi mudah rebah dan pengisian biji tidak sempurna.
Katanya, baja tidak mencukupi atau kelewatan bekalan khususnya pada peringkat kritikal boleh memberi kesan kepada tanaman.
Ujarnya, pengurusan air juga memainkan peranan penting kerana bekalan yang terlalu kurang atau terlalu banyak selain tidak mengikut jadual boleh menjejaskan pertumbuhan, pembungaan dan pengisian biji.
“Selain itu, serangan penyakit dan perosak contohnya seperti serangan bena, ulat, penyakit kulat dan penyakit bakteria pula boleh menyebabkan biji padi rosak, tidak berisi atau berubah warna.
“Antara faktor lain, penuaian terlalu awal atau terlalu lewat juga memberi kesan. Jika terlalu awal mungkin mempunyai banyak biji belum matang dan jika terlalu lewat pula, risiko padi gugur, pecah, rosak atau terdedah kepada cuaca meningkat.
“Semua faktor tersebut memberi kesan kepada kualiti padi dan secara tidak langsung mendorong kepada potongan pemutuan yang tinggi apabila padi dibawa ke kilang.
“Apabila padi tidak berkualiti, jangan terus meletakkan kesemua kesalahan kepada pesawah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, beliau berkata, pemotongan pemutuan padi sehingga melebihi 20 peratus ketika ini bergantung kepada kandungan kelembapan, kotoran dan kualiti padi.
Namun yang menjadi persoalan, adakah setiap potongan benar-benar berdasarkan ukuran yang telus, seragam dan boleh diaudit.
Pesawah berhak tahu secara terperinci berapa peratus kelembapan, kotoran dan padi rosak yang dipotong itu selain bagaimana formula potongan tersebut.
“Mereka juga berhak tahu 1.2 tan yang dipotong itu bukan sekadar dimaklumkan kualiti padi rendah. Tunjukkan angka, bacaan, formula serta slip dan dengan semua itu, barulah potongan pemutuan boleh dianggap telus, adil dan boleh dipertanggungjawabkan,” katanya.
Katanya, pesawah juga tidak sepatutnya dikelirukan harga lantai belian padi dengan pemotongan pemutuan.
Pengilang menentukan harga belian padi mengikut kemampuan masing-masing, tetapi harga lantai ditetapkan kerajaan.
“Bagaimanapun, untuk potongan pemutuan padi, siapa menentukan formula potongan, siapa mengesahkan bacaan mesin dan siapa mengaudit ketepatan timbang serta alat pengukur. Kalau pengilang mengira, merekod dan membayar, mekanisme semakan bebas mesti benar-benar wujud.
“Jika tidak, hasil lima ke enam tan, sekiranya dipotong 20 peratus, berapa yang tinggal kepada pesawah,” katanya.
Sementara itu, di Kedah, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, isu pemutuan melebihi 20 peratus perlu dilihat secara menyeluruh dan tidak hanya meletakkan tanggungjawab terhadap mutu padi di bahu pesawah.
Menurutnya, pesawah memang bertanggungjawab mengurus tanaman termasuk penggunaan benih, pembajaan serta kawalan penyakit dan perosak, namun terdapat faktor lain di luar kawalan mereka.
“Bagaimana pula kalau mutu padi terjejas kerana masalah pengairan, kelewatan baja, kualiti benih, hujan ketika menuai atau kelewatan proses pengeringan? Adakah semuanya boleh diletakkan kepada pesawah?” katanya.
PeSAWAH tidak mempertikaikan keperluan pemutuan kerana bendasing, kelembapan tinggi, padi muda atau rosak sememangnya boleh menjejaskan proses pengilangan. – UTUSAN











