ALOR SETAR: Sebahagian besar pesawah terpaksa ‘bercuti’ sementara daripada aktiviti penanaman padi yang akan bermula tidak lama lagi ekoran peningkatan kos mengerjakan sawah akibat kenaikan harga diesel.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, trend harga bahan api yang tidak statik dan berpotensi meningkat menyebabkan lebih 200,000 pesawah di utara tanah air tidak mampu menanggung kos penanaman.
“Kami akan hentikan penanaman padi selagi tiada tindakan pantas, dasar yang jelas atau mekanisme baharu daripada kerajaan. Tanpa langkah tuntas, kami tidak nampak bagaimana sektor ini mampu diteruskan dalam keadaan kos yang semakin menekan.
“Penyelarasan diesel pada 2024 sahaja sudah mengakibatkan peningkatan kos penanaman padi sekitar 50 peratus. Tetapi dengan kenaikan harga diesel ketika ini keseluruhan peningkatan boleh mencecah sehingga 65 peratus. Keadaan ini menyebabkan pesawah semakin terbeban dan kami kesal serta kecewa terhadap situasi yang berlarutan ini,” katanya ditemui selepas mengadakan himpunan aman yang dihadiri sekumpulan wakil pesawah termasuk dari Perlis dan Perak di Langgar, di sini hari ini.
Abdul Rashid berkata, himpunan itu diadakan bagi mendesak kerajaan terutama kementerian berkaitan mengambil langkah proaktif menyelesaikan isu tersebut dengan kadar segera.
Kenaikan itu lebih parah apabila tanaman padi tidak disenaraikan dalam Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) Fasa 1 dan 2 sebelum ini berbanding sektor lain.
“Kesannya, ramai pengusaha mula mengeluh kerana kos meningkat mendadak dan kenaikan itu ditanggung oleh pesawah. Sehubungan itu, kami memohon kerajaan khususnya Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan untuk meneliti semula keputusan ini dan mengambil tindakan segera.
“Jika isu ini berlarutan, ia bukan sahaja menjejaskan pendapatan pesawah, malah boleh memberi kesan kepada pengeluaran padi negara,” katanya.
Seorang pengusaha jentera pertanian yang juga pesawah, Azhar Hashim, 57, dari Perak berkata, kos sewa jentera kini meningkat tiga kali ganda ekoran kenaikan harga bahan api tersebut.
“Siapa yang akan menanggung kenaikan ini jika tidak pesawah? Di Perak banyak yang sudah beralih ke tanaman kelapa sawit kerana ia lebih menguntungkan. Sedangkan pesawah masih ditakuk golongan asnaf,” katanya.
Mazlina Md Desa, 51, memberitahu, dia juga berhasrat untuk berhenti menjadi pesawah ekoran pelbagai masalah yang menimpa golongan tersebut sejak kebelakangan ini.
“Sepuluh tahun dahulu saya memilih menjadi pesawah selepas bersara kerana ia dijanjikan pendapatan lumayan tetapi sekarang kami hanya menanggung kerugian. Jika perkara ini tidak berubah saya akan berhenti dan carilah kerja lain,” katanya. – UTUSAN










