SUNGAI PETANI: Kajian dilakukan oleh Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) mendapati, kenaikan Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) kepada RM300 sehektar masih tidak memadai.
Pengerusinya, Abdul Rashid Yob berkata, meskipun berlaku penambahan RM140, realiti yang dihadapi para petani masih sama iaitu kenaikan kos operasi terutama melibatkan harga diesel.
Katanya, IPKP juga bukan penyelesaian sebenar untuk mengimbangi kos yang mencanak naik ekoran krisis tenaga global sekarang.
“Berdasarkan penelitian mendalam dan rintihan daripada para pesawah di lapangan, kami menegaskan bahawa penyelesaian yang ditawarkan adalah tidak memadai dan tidak bersifat menyeluruh.
“Penambahan kepada RM300 per hektar untuk insentif pembajakan tidak memberi apa-apa makna kerana pengusaha-pengusaha jentera masih perlu membeli diesel pada harga semasa tanpa subsidi yang menyebabkan mereka menaikan kos upah kepada pesawah menjadi tinggi.
“Apatah lagi pembayarannya tidak konsisten sepertimana berlaku semasa penyasaran diesel dahulu apabila pengusaha dan pesawah terbeban kerana terpaksa menanggung kos sendiri sehingga bertunggak tiga musim ke musim lain,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Justeru Abdul Rashid berkata, pihaknya menuntut agar semua jenis jentera pertanian padi dimasukkan ke dalam Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi membolehkan pesawah memiliki kad fleet.
Katanya, mekanisme itu adalah langkah paling praktikal untuk memastikan subsidi sampai secara langsung kepada pengguna jentera di bendang.
“Saranan kami untuk perhatian Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Kementerian Kewangan dan agensi berkaitan adalah wujudkan satu kumpulan baru di bawah SKDS melibatkan jentera-jentera tanaman padi.
“Antaranya mesin padi, traktor pembajak, mesin pembajak kecil seperti jentani atau kubota serta pam air yang menggunakan diesel. Kami mohon permudahkan juga syarat bantuan subsidi diesel,” katanya.
Menurutnya, syarat-syarat ketat yang ditetapkan ketika ini dilihat hampir mustahil untuk dipenuhi oleh kebanyakan pesawah kecil berbanding dipermudahkan dengan pengesahan jentera yang lebih praktikal seperti pengesahan penghulu, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) atau melalui kad subsidi.
Sementara itu, ujar beliau, penyelarasan harga lantai padi adalah penyelesaian jangka panjang kerana harga semasa RM1,500 per metrik tan sudah tidak lagi relevan dengan kos sara hidup dan kos input pertanian yang melambung tinggi.
“Jika harga ini dikekalkan pesawah akan terus berdepan kerugian, kami cadang kerajaan naikkan harga lantai padi kepada RM3,000 per metrik tan. Kenaikan ini amat perlu bagi membolehkan pesawah memperoleh margin keuntungan yang munasabah untuk kelangsungan hidup.
“Jika harga lantai padi dinaikan, insentif pembajakan boleh dihapuskan dan disalurkan kepada subsidi Beras Putih Tempatan (BPT) sekiranya kerajaan masih mahu kekalkan harga kawalan RM2.60 sekilogram kepada pengguna,” katanya. – UTUSAN










