Industri seni hiburan bukanlah sebuah pentas yang sentiasa menjanjikan sorakan dan gemerlapan. Di sebalik populariti, glamor serta perhatian peminat, ada liku yang perlu ditempuh setiap anak seni untuk terus bertahan.
Persaingan yang semakin sengit, perubahan selera penonton dan kemunculan wajah-wajah baharu menjadikan perjalanan seorang selebriti tidak pernah benar-benar mudah.
Lebih-lebih lagi dalam dunia lakonan, populariti hari ini belum tentu menjamin tempat pada hari esok.Namun, ada segelintir anak seni yang seakan-akan mampu melawan arus tersebut.
Lebih dua dekad berada dalam industri, Fasha Sandha bukan sahaja kekal relevan, malah masih menjadi antara pelakon yang mempunyai tempat tersendiri dalam kalangan peminat.
Bagi Fasha, rahsia untuk terus bertahan bukanlah semata-mata populariti, sebaliknya disiplin dan kesungguhan dalam menghargai pekerjaan yang menjadi punca rezekinya.
Bercakap mengenai sikapnya yang lebih tenang berdepan dengan pelbagai situasi sepanjang bergelar selebriti, Fasha mengakui usia banyak mengubah cara dirinya melihat sesuatu perkara.
Jika dahulu ketika remaja dia mudah terbawa emosi, kini segala-galanya lebih banyak dihadapi dengan tenang, apatah lagi apabila mempunyai pasangan yang turut banyak membantunya melihat sesuatu daripada sudut yang berbeza.
“Dulu kalau ketika remaja, kita cepat nak naik angin, cepat melawan, defensif. Tapi bila sudah berusia ini, kita lebih tenang. Tambah-tambah pula dengan suami saya, Aidil Aziz. Aidil ini seorang yang tenang. Jadi, bila apa-apa, saya banyak rujuk dengan dia.
“Aidil banyak mengajar saya lebih tenang. Saya sedar, apabila sudah 40-an ini, jadi macam malas nak serabut kepala dengan benda-benda yang tidak penting,”katanya.
Tambah Fasha, pengalaman selama bertahun-tahun membuatkan dia semakin memahami bahawa bukan semua perkara perlu dilayan atau dijadikan beban fikiran.

ADAB DAN BAKAT SEIRING
Menariknya, Fasha juga tidak pernah melupakan hakikat bahawa dirinya bermula dari kosong. Dia tidak menganggap dirinya hadir ke industri dengan pakej lengkap seorang pelakon, sebaliknya mengakui bahawa pada awal pembabitan, dia sendiri masih belum mempunyai asas lakonan yang kukuh.
Selain itu, dalam soal hubungan dengan pelakon senior pula, Fasha melihat adab dan kebolehan membawa diri sebagai sesuatu yang penting.
Baginya, pelakon baharu tidak perlu terlalu memaksa diri untuk menjadi mesra atau cuba mencuri perhatian pelakon yang lebih berpengalaman. Memadai dengan menunjukkan rasa hormat dan bersikap baik.
Malah, Fasha sendiri melihat ramai pelapis baharu hari ini yang mempunyai kualiti dan potensi untuk pergi jauh. Antaranya termasuk beberapa pelakon muda yang pernah bekerja bersamanya.
“Memang saya sentiasa menghormati pelakon senior dan tidak pernah sekalipun saya tidak menegur mereka atau sebagainya. Memang tidak pernah. Namun, artis zaman sekarang pun ramai yang bagus sebenarnya. Ramai yang berbakat contohnya Erysha Emira.
“Pada saya, mereka ini bukan sahaja berbakat, malah sangat baik dan bersopan santun. Paling penting, apabila berjumpa dengan kita, mereka tahu bagaimana hendak membawa diri.
“Ramai pelakon pelapis yang saya lihat mempunyai potensi, termasuk yang berlakon dalam drama saya seperti Badron Munirah, dan Sharmaine Alexander. Ramai lagi. Saya rasa mereka mungkin turut belajar daripada pengurus masing-masing tentang cara untuk beretika apabila bekerja dengan pelakon-pelakon senior,”katanya.
Bagaimanapun, Fasha sedar tidak semua pelakon baharu mempunyai personaliti yang sama. Ada yang mungkin pemalu atau bersifat introvert sehingga berasa segan untuk menegur pelakon yang lebih senior, apatah lagi apabila berhadapan dengan nama besar.
Bagi Fasha, tidak perlu terlalu memikirkan perkara itu. Jika malu untuk menyapa atau bersalaman, senyuman juga sudah cukup untuk menunjukkan adab dan rasa hormat.
“Mungkin kadang-kadang mereka malu. Tetapi sebenarnya begini, kalau rasa malu, senyum sahaja. Kalau tidak mahu bersalaman atau sebagainya, senyum sahaja. Jangan pula buat tidak endah terhadap pelakon seperti saya.
“Tetapi ada juga pelakon lama yang berpendapat kita perlu bersalaman dan menghormati mereka. Ada yang mementingkan perkara seperti itu. Adab memang kena ada. Jadi, kalau rasa malu atau segan untuk menegur, senyum sahajalah. Itu pun sudah cukup bagus kerana ramai juga yang bersifat introvert dan segan untuk bertegur dengan orang,” katanya.

TEGAS SOAL KOMITMEN
Dalam masa sama, Fasha cukup tegas apabila menyentuh soal disiplin dan komitmen.
Menurutnya, setiap produksi lazimnya lebih selesa bekerjasama dengan individu yang sudah dikenali dan mempunyai disiplin kerja yang baik. Bakat semata-mata, katanya, tidak mencukupi jika tidak disertai sikap profesional.
“Saya percaya, produksi biasanya akan mengambil orang yang sudah biasa bekerja dengan mereka dan mempunyai disiplin yang baik. Setakat ini, di mata saya, rata-rata produksi yang saya bekerjasama jarang mengambil orang baharu. Tetapi apabila diambil, memang berbakat dan sangat berbakat.
“Jika ada yang mempunyai masalah disiplin, saya percaya individu itu wajar ubah sikap. Kena berubah kalau mahu lebih maju dalam industri ini kerana disiplin dan komitmen akan membawa kita pergi jauh.
“Kalau tidak menjaga disiplin dan komitmen, kita akan berada sekejap sahaja dalam industri ini. Kita akan tenggelam timbul, hilang lama kemudian muncul kembali. Namun, apabila datang semula, orang mungkin sudah tidak mahu memberikan kita peluang lagi,” ujarnya.

Secara peribadi, Fasha mengakui, soal menepati masa bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan. Dia menganggap masa orang lain perlu dihormati dan atas sebab itu, dia mempunyai kebiasaan untuk tiba lebih awal di lokasi penggambaran.
“Masalah kelewatan ini bukan soal tidak sabar menunggu, tetapi kita harus menghormati masa orang lain. Kalau waktu bekerja saya pada pukul 10 pagi, saya akan datang pukul 9 pagi atau 9.15 pagi. Itulah saya. Saya mahu datang awal supaya boleh berehat, makan dan membaca skrip. Saya tidak akan sampai lewat, walaupun 15 atau 30 minit,” tegasnya.
Malah, perkara itu sudah menjadi pegangan Fasha sejak awal pembabitannya sebagai model dan pelakon. Dia sentiasa memperuntukkan sekurang-kurangnya setengah jam sebagai ruang sekiranya berlaku perkara tidak dijangka sebelum waktu bekerja.
“Setiap hari saya akan pastikan kalau waktu bekerja saya, katakan pukul 9 pagi, saya akan peruntukan setengah jam untuk sebarang kecemasan. Itu yang saya pegang sejak dahulu, daripada zaman remaja sehingga sekarang. Sejak mula bekerja sebagai model dan pelakon, saya memang sentiasa memperuntukkan setengah jam untuk sebarang kecemasan.
“Kalau rekod saya, memang bersih. Saya tidak pernah lambat. Sepanjang 21 tahun menjadi pelakon, saya tidak pernah lambat walau sekali. Malah ketika zaman remaja dahulu pun, saya suka keluar malam.
“Kita ada zaman keluar malam, berhibur dan berpesta bersama kawan-kawan. Namun, saya tetap orang pertama yang datang ke set. Tetap yang pertama. Kalau pukul 8 pagi, pukul 7 pagi saya sudah sampai,”kongsinya.











