KUALA LUMPUR: Pelakon, Meerqeen menegaskan adegan dukung yang dijayakan bersama aktres, Hannah Delisha dilakukan kerana tanggungjawabnya kepada naskhah yang meminta berbuat demikian.
Kata Meerqeen atau Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam, 25, semasa adegan itu, dia melakonkan karakter Syawal iaitu seorang suami mendukung isterinya yang mengalami pendarahan dalam siri The Hidden Hand.
“Itu permintaan skrip dan juga pengarah. Secara logiknya kalau nak dibahas, saya rasa kalau isteri saya yang betul-betul pun saya akan buat benda sama juga.
“Itu antara persetujuan masing-masing dengan pengarah dan Hannah. Saya rasa lakonan semuanya tentang logik.
“Kami buat babak itu sebab saya memikirkan kehendak skrip itu yang memerlukan interaksi sebegitu,” katanya ketika ditemui semasa sidang media The Hidden Hand (Dia Perempuan Sialan) di sini, semalam.
Tambah Merqeen, sebagai seorang pelakon profesional, dia akan berbincang dengan pihak berkaitan bagi menjalani sesuatu babak termasuklah persetujuan rakan pelakon, Hannah Delisha.
“Tak ada minta izin suami Hannah sebab ini semua sebahagian daripada kerja.
“Saya tak cakap apa saya buat itu benda yang betul, namun semuanya profesional atas dasar persetujuan kedua pihak.
“Saya tanya Hannah adakah dia okey untuk melakukannya, dan dia setuju. Saya beritahu Kak Ain (pengarah) kalau boleh tak mahu buat berkali-kali,” jelasnya.
The Hidden Hand mengisahkan kejadian misteri membabitkan sebuah keluarga dengan unsur supernatural, thriller akibat dendam.
Turut sama menjayakan naskhah ini ialah Caitlin Halderman dan Hannah Delisha, bersama Datin Sri Umie Aida, Nadia Aqilah, Farah Ahmad dan Amerul Affendi. – UTUSAN











