PENYATUAN ummah antara UMNO dan Pas kembali menjadi agenda politik dua parti politik Melayu Islam itu selepas Muafakat Nasional (MN) yang digagaskan pada 2019 gagal direalisasikan disebabkan versi konsep penyatuan antara kedua-dua parti itu amatlah berbeza.
Jika diimbau kembali, kegagalan MN bukanlah salah mana-mana pihak sebaliknya ideologi konsep penyatuan ummah dibawa UMNO dan Pas gagal menemukan titik temu yang membolehkan MN memayungi orang Melayu Islam khususnya melibatkan politik tanah air.
Pas ketika itu kekal dengan pendiriannya ‘memperkasakan MN, mempertahankan PN’ yang membawa erti penyatuan ummah tidak boleh berhenti hanya melibatkan dua parti iaitu UMNO dan Pas, sebaliknya perlu diperkukuhkan dengan parti-parti Melayu Islam lain.
Konsep penyatuan ummah itu terus dipegang Pas sehingga kini bahkan kenyataan terkini Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man membuktikan parti itu masih berpegang kepada muafakat penyatuan ummah perlu diperluaskan dan tidak dihadkan kepada dua parti sahaja.
Malah, hari ini, walaupun Pas sudah memberhentikan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), namun Perikatan Nasional (PN) sedang memayungi empat parti berasaskan orang Melayu Islam iaitu Pas, Bersatu, Parti Wawasan Negara (Wawasan) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Kehadiran tiga parti baharu itu menimbulkan persoalan sama ada UMNO boleh atau tidak menerima mereka dalam konsep penyatuan ummah ‘tafahum siyasi’ dibentangkan Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di pentas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang lalu.
Persoalan ini ada asasnya kerana konsep penyatuan ummah UMNO yang agak berbeza antara penyumbang kepada gagalnya gagasan MN sebelum ini disebabkan munculnya slogan ‘No Bersatu, No Anwar, No DAP’ yang menjadi pendirian Ahmad Zahid pada Mac 2021.
Sekali gus, menolak kerjasama dengan Bersatu yang ketika itu ‘sebantal’ dengan Pas dalam PN. Konsep penyatuan ummah kedua-dua parti itu akhirnya membawa kepada kegagalan MN diperkasakan.
Bahkan, di pentas PAU 2026, UMNO di peringkat negeri khususnya Kedah menolak untuk berbincang dengan parti lain dalam PN selain Pas.
Di sinilah pentingnya keikhlasan yang ditekankan bukan sahaja pimpinan Pas bahkan UMNO sendiri supaya agenda penyatuan ummah kali ini tidak akan mengulangi nasib MN.
Namun, apa yang pasti, UMNO dan Pas yang merupakan ‘gajah’ dalam politik tanah air perlu mempelopori gagasan penyatuan itu supaya dapat diterjemahkan, sekali gus mengakhiri perpecahan politik orang Melayu Islam selama ini.
Pada masa sama, penting untuk gagasan penyatuan ummah ini, tidak menyisihkan mana-mana bangsa atau agama lain di Malaysia, sekali gus membuktikan penyatuan ummah adalah demi kemakmuran bersama. – UTUSAN










