Anak yatim mahu jadi doktor Al-Azhar

Anak yatim mahu jadi doktor Al-Azhar

SITI Nor Hafizah Ahmad (kiri) bersama ibu, Khoriyoh Suemae pada Majlis Kesyukuran dan Solat Hajat di Asrama Anak Yatim Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya). Marang, Terengganu. – MINGGUAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Status sebagai anak yatim dan hidup dalam serba kekurangan bukan penghalang buat Siti Nor Hafizah Ahmad mengejar cita-cita bergelar doktor apabila ditawarkan melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Al-Azhar, Mesir.

Lebih membanggakan, dia adalah anak yatim keempat dari Asrama Anak Yatim Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya) di sini, menerima tawaran melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan sejak pusat berkenaan ditubuhkan pada 1980.

Siti Nor Hafizah, 19, yang berasal dari Kampung Pulau Rusa, di sini, berkata, pada awalnya dia hampir menolak tawaran tersebut kerana bimbang tidak mampu menanggung kos pengajian di luar negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, ibunya, Khoriyoh Suemae, 49, bekerja sebagai tukang masak dengan pendapatan kira-kira RM1,500 sebulan.

“Pengurusan asrama Perkaya menasihatkan saya supaya menerima tawaran itu dan berjanji berusaha mendapatkan bantuan kewangan bagi membiayai kos pengajian.

“Jangan menolak tawaran untuk melanjutkan pengajian disebabkan masalah kewangan. Sebaliknya, buktikan kecemerlangan kerana semua kos sudah menunggu terhidang,” katanya ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran dan Solat Hajat di Asrama Perkaya.

Siti Nor Hafizah berkata, selepas berbincang dengan ibunya terutama mengenai kos perbelanjaan, dia mengambil keputusan menerima tawaran tersebut dan bakal berangkat ke Mesir.

“Saya memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.79 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024. Walaupun pernah berfikir beberapa kali untuk menerima tawaran itu kerana keadaan kewangan keluarga, saya bersyukur kerana pengurusan Perkaya banyak memberi dorongan dan meyakinkan saya untuk terus melangkah,” katanya.

Siti Nor Hafizah yang merupakan anak kedua daripada empat beradik mula menghuni Asrama Anak Yatim Perkaya pada 2019, empat tahun selepas bapanya, Ahmad Jusoh meninggal dunia pada 2015.

Sementara itu, Yang Dipertua Perkaya, Datuk Dr. Tengku Mahmud Mansur berkata, sebelum ini tiga bekas penghuni Asrama Anak Yatim Perkaya berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan dan bergelar doktor, termasuk seorang wanita yang kini merupakan doktor pakar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Semua kos termasuk yuran pengajian dan wang perbelanjaan Siti Nor Hafizah akan dibiayai sepenuhnya oleh Perkaya. Selain itu, seorang usahawan turut menyumbang RM27,000 bagi membantu menampung kos pengajiannya di Mesir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×