SIKAP bersahaja, ramah dan menjaga adab tutur kata menjadi antara perkara yang mudah dilihat apabila Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bertemu masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai, Lipis, Pahang.
.
Ukuran kejayaan baginya adalah sejauh mana kehidupan rakyatnya berubah, bukan sejauh mana namanya dikenali.Bagi beliau, Jelai bukan sekadar kawasan yang diwakilinya sejak 2004, tetapi tanah kelahiran yang membentuk dirinya sejak kecil. Dilahirkan di Kampung Tanjung Gahai, pesisir Sungai Jelai, beliau membesar dengan melihat cabaran masyarakat luar bandar mendapatkan kemudahan asas dan peluang ekonomi.
Apabila diberi amanah sebagai wakil rakyat, pembangunan Jelai menjadi tanggungjawab utama Wan Rosdy yang juga Menteri Besar.
“Saya tidak pernah melihat usaha di Jelai sebagai kerja saya seorang. Ia hasil sokongan kerajaan negeri, agensi, pemimpin masyarakat, Orang Asli, Felda, belia, wanita dan penduduk,” katanya.
Bergerak setapak demi setapak
Ketika pertama kali dipilih pada 21 Mac 2004, keadaan Sungai Koyan jauh berbeza. Fokus awal beliau adalah kemudahan asas, jalan raya, sekolah, masjid, premis perniagaan.
“Kalau mahu membangunkan kawasan, kita perlu bermula dengan perkara asas. Ada yang cepat, ada yang ambil masa,” ujarnya.

BIODATA:
DATUK SERI WAN ROSDY WAN ISMAIL
Tarikh lahir: 1 Oktober 1958
Tempat lahir: Kampung Tanjung Gahai, Lipis
Isteri: Datin Seri Burhah Mohammed
Jawatan:
Menteri Besar
Exco Kerajaan Negeri
Ahli Dewan Undangan Negeri Jelai, Parti UMNO
Naib Presiden UMNO
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang
Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands
Pegawai Eksekutif
LPN/BERNAS
Hari ini, Sungai Koyan sudah memiliki jalan perhubungan, premis perniagaan, stesen bas, masjid, sekolah, balai bomba dan polis, pusat kesihatan, ATM, pusat tenun, tadika tahfiz, pejabat pos, pusat internet desa dan pelbagai kemudahan lain.
Kampung kelahiran tidak dilupakan
Sebagai anak jati Tanjung Gahai, pembangunan kampung kelahiran turut diberi perhatian. Antara projek utama adalah Agropolitan Tanjung Gahai, Rumah Makmur, jalan dan jambatan, ekopelancongan, Kompleks Pentadbiran
Daerah Kecil Jelai, TKPM Jelai, perlombongan NR-REE serta Stesen Hidroelektrik Ulu Jelai.
Beliau menekankan pembangunan bukan sekadar fizikal, tetapi peluang pekerjaan dan kehidupan lebih baik kerana apa yang penting, anak-anak kampung dapat menikmati kemudahan dan peluang membina kehidupan.
Pendidikan Islam juga diberi perhatian oleh Wan Rosdy melalui penubuhan Maahad Tahfiz Ar-Rushd (MTAR) di Tanjung Gahai. Potensi pelancongan Jelai turut digerakkan dengan kemudahan riadah, rekreasi dan inap desa.
Dekat dengan masyarakat Orang Asli
Hubungan Wan Rosdy dengan masyarakat Orang Asli di Jelai sudah lama terjalin. Beliau sering turun ke Pos Betau, Kuala Koyan, Pos Pantos, Pos Lanai, Pos Sinderut, Pos Titom dan Pos Lenjang. Malah beliau kerap menggunakan ungkapan Semai “Hek sudah cacak” (Awak sudah makan) sebagai pembuka bicara.
Antara kemudahan untuk masyarakat Orang Asli termasuk Jalan Raya Pos Betau- Pos Lenjang, perumahan Kampung Pantos, program PETAMA, latihan kemahiran, baik pulih rumah serta inisiatif kebajikan dan pendidikan. Penubuhan Sekolah K11 di SMK RPS Betau menjadi pencapaian penting, menyediakan pendidikan dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima.
Pengalaman membentuk cara berkhidmat
Sebelum bergelar wakil rakyat, Wan Rosdy berkhidmat sebagai Pegawai Eksekutif Bernas di Perak dan Perlis (1985–2004). Pengalaman itu membentuk cara beliau melihat pengurusan, perancangan dan pelaksanaan.
Dalam politik negeri, beliau pernah menjadi Exco Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli (2008-2013), kemudian portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan (2013-2018). Pada 15 Mei 2018, beliau dilantik sebagai Menteri Besar.
“Saya belajar bahawa pembangunan tidak boleh dibuat hanya berdasarkan apa yang kita fikirkan. Kita perlu lihat keperluan sebenar di lapangan dan dengar pandangan orang,” katanya.
Amanah yang perlu diteruskan
Lebih dua dekad menjadi wakil rakyat Jelai dan lapan tahun menerajui negeri, beliau mengakui masih banyak perkara perlu dilakukan.
“Saya bersyukur dengan apa yang dicapai, tetapi tidak fikir kita sudah selesai. Masih ada perkara perlu diperbaiki, kemudahan, ekonomi, pendidikan dan peluang anak muda,” katanya.
Bagi beliau, ukuran kejayaan bukan sejauh mana namanya dikenali, tetapi sejauh mana kehidupan rakyat berubah.
“Saya anak kampung. Apabila melihat anak-anak Jelai mendapat pendidikan, kemudahan dan kehidupan lebih selesa, itu sudah cukup menggembirakan saya,” katanya.
Mengakhiri perbualan, beliau menegaskan Tanjung Gahai tetap istimewa. “Saya suka balik kampung. Di sinilah tempat saya bermula. Walaupun lama dalam politik, bila balik ke Tanjung Gahai saya tetap rasa saya ini anak kampung,” ujarnya.-UTUSAN










