PUTRAJAYA: “Aku dah tak nak buat kerja, aku nak berehat,” antara kata-kata yang bermain di fikiran Mohd. Anas, 41, selepas sahabat baiknya, Mohd. Yazid Senin pergi buat selama-lamanya.
Mohd. Yazid dan isterinya, maut selepas motosikal yang dinaiki mereka dipercayai merempuh bahagian belakang sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 1.5 Jalan Persiaran Timur, berdekata Desa Pinggiran Putra di sini petang semalam.
Anas berkata, selain hasrat untuk berehat daripada bekerja, mangsa turut pernah menyatakan keinginan menjual motosikalnya kepada seorang rakan sebelum kejadian.
“Dia kata ‘kau belilah motor aku. Aku tak nak pakai motor ini’. Masa itu kami tak fikir apa-apa, anggap dia memang nak jual motosikal,” katanya ketika ditemui hari ini.
Menurutnya, perkara berkenaan hanya dilihat sebagai sesuatu yang luar biasa selepas kejadian, lebih-lebih lagi apabila mengenangkan beberapa perubahan lain yang berlaku kepada mangsa sejak kebelakangan ini.
Katanya, mangsa yang dikenalinya selama 18 tahun itu juga tidak membawa anaknya ketika keluar pada malam sebelum berangkat mengerjakan umrah, sedangkan kebiasaannya anak berkenaan sentiasa dibawa bersamanya.
“Selalunya kalau dia keluar naik motor, anak dia akan ikut. Siang atau malam, memang dia bawa anak. Tetapi malam itu dia tinggalkan anak dengan adik-beradik dan sepupunya,” katanya.
Anas berkata, beberapa jam sebelum kejadian, mangsa turut mengadu mengalami masalah penglihatan dan bercadang memakai cermin mata, selain kelihatan kurang sihat ketika berada di pejabat.
“Dia ada cakap mata dia tak nampak dengan jelas. Dia kata nak pakai cermin mata. Hari itu bila duduk di pejabat pun dia macam tertidur. Kami ingat mungkin dia tidak sihat,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, ketika itu tiada siapa menyangka perubahan kecil berkenaan mempunyai makna lain dan mereka meneruskan rutin seperti biasa.
Anas berkata, pada hari kejadian, mereka masih sempat berbual di pejabat dan mangsa turut bercakap mengenai motosikal, termasuk saman serta perbelanjaan kenderaan.
“Dia kata selama pakai motor itu dia tak pernah kena saman, tetapi hari itu tiba-tiba kena saman. Dia juga cerita minggu sebelumnya sudah bayar sekitar RM2,000 untuk kereta dan motor,” katanya.
Katanya, sepanjang 18 tahun persahabatan, mangsa bukan sekadar rakan sekerja tetapi sudah dianggap seperti ahli keluarga, termasuk rapat dengan anaknya.
“Memang kami kawan baik. Kami satu pejabat, teman baik dan ibarat keluarga. Bila saya dapat anak, dia anggap anak saya macam anak dia sendiri.
“Kalau saya tahu akan jadi macam ini, mungkin kita nak luangkan lebih banyak masa bersama. Kita tak sangka dia akan pergi begitu cepat,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang semalam, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR dipercayai sedang dalam perjalanan dari arah Dengkil menghala ke Putrajaya sebelum terbabit kemalangan. – UTUSAN











