“Akar Kita, Anak Kita” anugerah ilahi
Warisan temurun warga bumi pertiwi
“Semai Integriti Sejak Rebung” dini lagi “Integriti Di Hati” bitara
generasi berkualiti
Pelancaran Modul Integriti Kanak-Kanak (MIKa) oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah pada 27 Ogos 2026 bukan sekadar satu lagi pelancaran modul pendidikan. Ia seharusnya dilihat sebagai satu isyarat penting bahawa persoalan integriti tidak boleh lagi dianggap sebagai agenda yang hanya perlu dibicarakan apabila seseorang memasuki alam pekerjaan, memegang jawatan atau terdedah kepada kuasa dan wang.
Persoalan yang lebih besar ialah: bilakah sebenarnya integriti perlu diajar?
Adakah kita mahu menunggu sehingga anak menjadi pegawai kerajaan, ahli politik, ahli perniagaan, pengurus atau pemimpin sebelum kita bercakap tentang amanah, kejujuran dan tanggungjawab?

Jika demikian, kita sebenarnya sudah terlambat.
Integriti bukan suis yang boleh dihidupkan apabila seseorang menerima jawatan. Ia bukan modul yang boleh disuntik apabila seseorang mula memegang kuasa. Integriti ialah nilai yang dibentuk secara perlahan-lahan melalui pengalaman, teladan, kebiasaan dan keputusan-keputusan kecil yang dibuat sejak usia kanak-kanak.
Sebab itu MIKa, yang dibangunkan oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan kerjasama pelbagai kementerian, agensi, institusi pendidikan dan badan bukan kerajaan, perlu dilihat jauh lebih besar daripada sebuah bahan pengajaran untuk Taska, Tabika, Tadika dan prasekolah.
MIKa ialah satu percubaan untuk menjawab persoalan yang lebih mendasar: bolehkah kita membina masyarakat berintegriti jika kita tidak serius membina manusia berintegriti sejak akar umbinya?
Jawapannya mungkin mudah, tetapi pelaksanaannya tidak.
Kita sering membanteras rasuah apabila sudah terlambat
Selama ini, pendekatan terhadap integriti dan rasuah sering tertumpu kepada tindakan selepas berlaku kesalahan. Kita menyiasat. Kita mendakwa. Kita menghukum. Kita memperketatkan prosedur. Kita menambah garis panduan. Kita memperkenalkan sistem kawalan.
Semua itu penting.
Tetapi kita perlu bertanya dengan lebih berani: mengapa kita begitu banyak melabur untuk membaiki manusia selepas mereka melakukan kesalahan, tetapi kurang memberi perhatian kepada pembentukan manusia sebelum mereka berhadapan dengan godaan untuk melakukan kesalahan?
Inilah sebab pendidikan integriti sejak awal usia perlu diberikan tempat yang lebih strategik dalam pembangunan negara.
MIKa merupakan penjenamaan semula dan penambahbaikan menyeluruh daripada Modul Integriti Prasekolah (MIPS) yang diperkenalkan pada 2016–2017. Kali ini skopnya diperluaskan kepada kanak-kanak Taska berumur dua hingga empat tahun serta Tadika dan prasekolah bagi kanak-kanak berumur lima hingga enam tahun. Modul ini dibangunkan selaras dengan Kurikulum PERMATA Negara, Kurikulum Prasekolah 2026 dan Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (NIES).
Pendekatannya juga tidak menjadikan integriti sebagai subjek yang berat dan abstrak. Kanak-kanak belajar melalui cerita, nyanyian, permainan, lakonan, simulasi, seni kreatif, perbualan mudah dan rutin harian. Kompas MIKa pula disusun dengan mengambil kira perkembangan kognitif, sosioemosi, bahasa, fizikal, kreativiti dan kerohanian kanak-kanak.
Ini langkah yang betul. Namun, di sinilah kita perlu menjadi lebih kritis.

sempena majlis pelancaran MIKa baru-baru ini.
Sebuah modul yang baik tidak secara automatik melahirkan manusia yang baik
Modul hanya menyediakan alat. Pendidik yang menghidupkannya. Ibu bapa yang mengukuhkannya. Masyarakat yang mengujinya. Sistem yang menentukan sama ada nilai itu akhirnya bertahan atau gugur.
Anak-anak belajar integriti bukan daripada apa yang kita katakan.
Kita mungkin mengajar anak supaya jangan menipu.
Tetapi apa berlaku apabila telefon berdering dan kita menyuruh anak menjawab, “Ayah tak ada di rumah,” sedangkan kita sebenarnya ada?
Kita mungkin mengajar anak supaya menghormati peraturan.
Tetapi apa berlaku apabila kita melanggar lampu isyarat kerana “tak ada polis”?
Kita mungkin memberitahu anak bahawa mengambil hak orang lain itu salah.
Tetapi bagaimana jika mereka melihat orang dewasa memanipulasi tuntutan, menggunakan pengaruh untuk mendapatkan keistimewaan atau mencari jalan belakang apabila berhadapan dengan peraturan?
Di sinilah pendidikan integriti berhadapan dengan paradoks paling besar.
Kanak-kanak mungkin mendengar apa yang kita ajarkan, tetapi mereka belajar lebih banyak daripada apa yang mereka lihat.
Kandungan pembelajaran MIKa sendiri mengakui bahawa persekitaran rumah dan amalan ibu bapa merupakan benteng paling asas dan kritikal dalam menyokong pembudayaan integriti. Kanak-kanak pada usia awal banyak belajar melalui pemerhatian, menjadikan tingkah laku orang dewasa sebagai rujukan moral.
Maka, persoalan sebenar bukan sekadar bagaimana MIKa dilaksanakan di dalam kelas. Persoalannya ialah: adakah kita bersedia melaksanakan MIKa di luar kelas?
Jika tidak, kita mungkin melahirkan generasi yang tahu definisi integriti tetapi tidak tahu bagaimana mengamalkannya.
Jangan jadikan integriti sekadar hafalan
Kita perlu berhati-hati supaya pendidikan integriti tidak terperangkap dalam budaya pendidikan yang terlalu mementingkan pengetahuan tetapi kurang memberi perhatian kepada pembentukan tingkah laku.
Kanak-kanak tidak perlu menghafal definisi panjang tentang integriti. Mereka perlu mengalami integriti.
Mereka perlu belajar bahawa memulangkan barang yang bukan milik mereka ialah integriti.
Mengaku apabila memecahkan barang ialah integriti.
Menunggu giliran ialah integriti.
Tidak menipu ketika bermain ialah integriti.
Tidak mengambil sesuatu yang bukan hak mereka ialah integriti.
Berani berkata benar walaupun takut dimarahi ialah integriti.
Dengan kata lain, integriti mesti diterjemahkan daripada konsep kepada kebiasaan.
MIKa mempunyai asas yang baik untuk tujuan tersebut kerana pendekatannya menggunakan pengalaman yang dekat dengan dunia kanak-kanak melalui cerita, permainan, simulasi, perbualan, aktiviti seni dan rutin harian.
Tetapi selepas pelancaran, kita perlu pergi lebih jauh.
Kita perlu memastikan MIKa tidak berakhir sebagai buku yang tersusun kemas di rak Taska, Tabika, Tadika dan prasekolah.
Ukuran kejayaannya bukan berapa banyak modul dicetak. Bukan berapa banyak sekolah menerima modul. Bukan berapa banyak sesi latihan dilaksanakan. Ukuran sebenar ialah perubahan tingkah laku.
Adakah anak semakin berani berkata benar? Adakah mereka memahami tanggungjawab? Adakah mereka mula menolak penipuan walaupun tiada orang melihat? Adakah mereka memahami bahawa melakukan perkara yang betul bukan kerana takut dihukum, tetapi kerana ia perkara yang benar?
Jika perkara-perkara ini tidak diukur, kita mungkin hanya mengukur aktiviti, bukan impak.
Cabaran sebenar bermula selepas pelancaran
Di sinilah cabaran MIKa yang sebenar. Pelancaran ialah permulaan, bukan kejayaan. Cabaran pertama ialah keseragaman pelaksanaan.
Malaysia mempunyai pelbagai bentuk pendidikan awal kanak-kanak, pengasuh, pendidik, institusi, latar belakang keluarga dan tahap sumber. MIKa perlu cukup tersusun untuk memastikan nilai yang disampaikan konsisten, tetapi pada masa yang sama cukup fleksibel untuk disesuaikan dengan realiti setempat.
Cabaran kedua pula ialah kompetensi pendidik.
Kita tidak boleh mengharapkan seorang pendidik mengajar integriti hanya dengan membaca panduan. Pendidikan karakter memerlukan kefahaman tentang psikologi kanak-kanak, kaedah bercerita, komunikasi, pengurusan emosi dan pembelajaran berasaskan pengalaman.
Maka, pelaburan kepada MIKa tidak seharusnya berhenti pada pembangunan modul.
Pelaburan paling penting selepas ini ialah pelaburan kepada manusia yang menyampaikan modul.
Cabaran ketiga ialah penglibatan ibu bapa. Ini mungkin yang paling sukar.
Sekolah boleh menyediakan satu atau dua jam pendidikan integriti, tetapi anak menghabiskan jauh lebih banyak masa di rumah. Jika mesej di sekolah bertentangan dengan amalan di rumah, nilai yang diajar di bilik darjah akan berhadapan dengan persaingan yang tidak seimbang.
Sebab itu Kompas MIKa turut menggalakkan kesinambungan pembelajaran di rumah supaya nilai yang dipelajari tidak terhenti di Taska atau Tadika, tetapi menjadi sebahagian daripada rutin keluarga.
Persoalannya, bagaimana kita mahu memastikan ibu bapa turut menjadi “pendidik integriti”? Mungkin sudah tiba masanya pendidikan integriti bukan hanya diberikan kepada anak-anak.
Ibu bapa juga perlu dididik tentang integriti keibubapaan. Bukan untuk mengajar mereka menjadi ibu bapa sempurna, tetapi untuk menyedarkan bahawa setiap tindakan mereka sedang membentuk kompas moral anak.
Jangan salahkan anak apabila orang dewasa gagal menjadi teladan. Kita sering berharap anak-anak menjadi generasi yang lebih baik daripada generasi sebelumnya. Tetapi harapan itu mempunyai satu persoalan yang tidak boleh dielakkan:
Lebih baik berdasarkan ukuran siapa?
Kita mahu anak-anak jujur, tetapi adakah kita jujur apabila tiada siapa melihat? Kita mahu mereka amanah, tetapi adakah kita amanah terhadap masa, wang dan tanggungjawab? Kita mahu mereka menghormati undang-undang, tetapi adakah kita sendiri menghormati peraturan apabila ia menyusahkan?
Jika jawapannya tidak, maka masalah integriti kita bukan masalah anak-anak. Ia masalah orang dewasa.
Oleh itu, MIKa tidak sepatutnya dilihat hanya sebagai projek pendidikan kanak-kanak. Ia patut menjadi cermin kepada masyarakat dewasa.
Apabila seorang anak bertanya, “Kenapa tak boleh tipu?”, kita bukan sahaja perlu memberikan jawapan kepada anak itu.
Kita juga perlu bertanya kepada diri sendiri: berapa banyak kompromi moral yang telah kita normalisasikan dalam kehidupan seharian?
Way forward: Daripada modul kepada ekosistem integriti
Selepas pelancaran MIKa, langkah seterusnya perlu lebih berani.
Pertama, MIKa perlu dikembangkan sebagai ekosistem pendidikan integriti, bukan sekadar modul.
Ekosistem ini mesti menghubungkan Taska, Tabika, Tadika, prasekolah, sekolah rendah, keluarga, komuniti dan institusi masyarakat. Nilai yang diperkenalkan pada usia dua hingga enam tahun mesti mempunyai kesinambungan apabila kanak-kanak memasuki sekolah rendah dan seterusnya.
Jika pendidikan integriti terputus selepas prasekolah, kita kembali kepada masalah lama: pendidikan yang bermula semula setiap kali seseorang memasuki tahap kehidupan baharu.
Kedua, perlu ada mekanisme pemantauan dan penilaian impak.
Kita perlu membangunkan indikator yang munasabah untuk melihat perubahan tingkah laku, bukan sekadar jumlah penyertaan. Penilaian ini tidak bermaksud memberi “markah integriti” kepada kanak-kanak, tetapi melihat perkembangan nilai melalui pemerhatian, interaksi dan amalan.
Ketiga, MIKa perlu dibawa keluar daripada institusi pendidikan dan masuk ke dalam ruang keluarga dan komuniti.
Cerita MIKa boleh dibaca sebelum tidur. Nilai yang sama boleh dibincangkan ketika makan malam. Aktiviti mudah boleh dilakukan di rumah.
Ibu bapa boleh diberikan panduan ringkas tentang bagaimana menangani situasi sebenar – anak berbohong, berebut barang, menyembunyikan kesalahan, mengambil sesuatu tanpa izin atau berhadapan dengan tekanan rakan sebaya.
Di sinilah pendidikan integriti menjadi hidup.
Keempat, pendekatan MIKa perlu terus berkembang mengikut perubahan dunia kanak-kanak. Kanak-kanak hari ini membesar dalam dunia digital. Mereka terdedah kepada media sosial, kandungan video, permainan dalam talian dan pelbagai bentuk pengaruh sejak usia sangat muda.
Maka persoalan integriti masa depan bukan hanya “jangan ambil barang orang”.
Ia juga tentang menghormati privasi, tidak menipu dalam permainan, tidak mengambil kandungan orang lain, tidak membuli, tidak menyebarkan maklumat palsu dan berani melaporkan perkara yang salah. Pendidikan integriti mesti bergerak mengikut realiti zaman.
MIKa bukan projek kecil; ia projek pembinaan negara
Lebih penting, MIKa perlu diletakkan dalam kerangka pembangunan negara yang lebih besar.
Ia mempunyai hubungan dengan Teras 1 Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (NIES) yang memberi tumpuan kepada pendidikan dan pembinaan insan berintegriti melalui keluarga dan komuniti. Ia juga menyokong pendekatan pencegahan yang ditekankan dalam Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS), khususnya melalui pendidikan, kesedaran dan pembudayaan nilai integriti. Ini penting kerana usaha membanteras rasuah tidak boleh hanya bergantung kepada institusi penguatkuasaan. Penguatkuasaan ialah benteng terakhir.
Pendidikan ialah benteng pertama. Jika benteng pertama kukuh, beban kepada benteng terakhir dapat dikurangkan.
Kerjasama pelbagai pihak dalam pembangunan MIKa juga menunjukkan bahawa pembinaan integriti memang tidak boleh dimonopoli oleh satu institusi. KPM, KPN, JKM, KEMAS, kerajaan Sarawak, UPSI, UNISEL serta persatuan dan organisasi berkaitan pendidikan awal kanak-kanak telah terlibat dalam pembangunan modul ini.
Selepas ini, cabaran kita ialah memastikan semangat kerjasama tersebut tidak berakhir selepas modul dilancarkan.
Persoalan yang perlu kita berani jawab
Akhirnya, MIKa membawa kita kepada persoalan yang jauh lebih besar daripada sebuah modul. Apakah jenis manusia yang mahu kita lahirkan?
Adakah kita mahu anak-anak yang hanya cemerlang dalam peperiksaan tetapi takut mengaku kesalahan?
Adakah kita mahu generasi yang tahu bagaimana mencapai kejayaan tetapi tidak tahu batas antara kejayaan dan penipuan?
Adakah kita mahu melahirkan manusia yang pandai mencari jalan untuk memintas peraturan, atau manusia yang memahami mengapa peraturan perlu dihormati?
Dan lebih penting, adakah kita mahu sebuah negara yang hanya sibuk menghukum rasuah selepas ia berlaku, atau sebuah negara yang serius membina manusia supaya tidak mudah terjebak dengannya?
Jawapan kepada semua persoalan ini bermula dengan keberanian untuk mengubah cara kita melihat pendidikan integriti.
Kita tidak boleh lagi menganggap integriti sebagai kempen bermusim.
Tidak boleh sekadar slogan.
Tidak boleh hanya ceramah.
Tidak boleh hanya poster.
Dan tidak boleh hanya menjadi tanggungjawab sekolah.
Integriti mesti menjadi budaya
Budaya pula tidak lahir daripada arahan. Ia lahir daripada pengulangan nilai sehingga nilai itu menjadi kebiasaan, dan kebiasaan akhirnya menjadi karakter.
Sebab itu MIKa mempunyai makna yang jauh lebih besar daripada kandungan 12 buku cerita, lagu, video, aktiviti dan panduan pengajaran. Bahan-bahan tersebut ialah medium. Matlamat akhirnya ialah manusia.
Watak-watak MIKa, Sam, Tuah, Ratu dan Siti yang berasaskan haiwan serta simbol yang dekat dengan identiti Malaysia juga boleh menjadi jambatan untuk menjadikan nilai yang abstrak lebih mudah difahami oleh kanak-kanak.
Tetapi watak-watak itu hanya akan hidup jika masyarakat dewasa menghidupkan nilai yang dibawanya.
Maka selepas Tuanku Permaisuri Agong melancarkan MIKa pada 27 Ogos lalu, persoalan kita bukan lagi “bilakah modul ini hendak digunakan?”
Persoalan yang lebih penting ialah:
“Apakah yang kita, sebagai orang dewasa, sanggup ubah supaya nilai yang diajar kepada anak-anak benar-benar menjadi realiti dalam kehidupan mereka?”
Kerana anak-anak tidak mewarisi integriti melalui buku. Mereka mewarisinya melalui contoh.
Mereka belajar amanah apabila melihat orang dewasa menunaikan janji.
Mereka belajar kejujuran apabila melihat orang dewasa berani mengakui kesilapan.
Mereka belajar keberanian moral apabila melihat orang dewasa berani mengatakan tidak kepada perkara yang salah.
Dan mereka belajar tentang keadilan apabila melihat orang dewasa tidak menggunakan kuasa untuk kepentingan diri.
Justeru, MIKa tidak seharusnya berakhir sebagai sebuah modul di Taska, Tabika, Tadika atau prasekolah.
Ia perlu menjadi gerakan nasional yang mengingatkan kita bahawa pembinaan negara sebenarnya bermula jauh sebelum seorang anak mengenal erti jawatan, kuasa atau wang.
Ia bermula ketika seorang anak belajar memulangkan barang yang bukan miliknya.
Bermula ketika dia memilih untuk berkata benar. Bermula ketika dia berani mengaku salah. Bermula ketika dia belajar bahawa kejayaan tidak boleh dicapai dengan mengorbankan prinsip.
Dan akhirnya, bermula ketika orang dewasa di sekelilingnya menunjukkan bahawa nilai-nilai itu bukan sekadar sesuatu yang perlu diajarkan, tetapi sesuatu yang mesti dihidupkan.
Kita sering mengatakan bahawa anak-anak ialah masa depan negara. Ungkapan itu sudah terlalu biasa sehingga kehilangan maknanya.
Mungkin kita perlu membalikkannya:
Anak-anak bukan sekadar masa depan negara. Mereka ialah cermin kepada negara yang sedang kita bina hari ini.
Jika kita mahu masa depan yang berintegriti, kita tidak boleh menunggu masa depan itu tiba. Kita mesti membinanya sekarang.
Dan akar itu bermula dengan anak kita.
Integriti Di Hati
Ditanam disulam benih ini
Benih amanah buat pertiwi Membenih tumbuh integriti
Menumbuh cambah dedaun pagi
Bercambah ranting dedahan seri Bugar lah Integriti Di Hati
Mekar kuntum bunga mewangi Mekar kukuh teguh jati diri Menyulami kehidupan
sewarjagat ini
Kental padu generasi silih berganti
Semalam kini kekal ku terokai Esoklusa cabaran ku depani
Mara gagah mengakar integriti Mewarni setiap inci pelusuk bumi Sirna lah Integriti Di Hati
Legasi integriti
Membitara generasi berkualiti Gemilang lah Integriti Di Hati
Lestari integriti
Teguh memeluk nyawa denyut nadi Hingga akhir sisa nafas ini,
Integriti Di Hati..
PROF. MADYA DR. MOHAMED AYOB SUKANI adalah Pensyarah di Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Universiti Selangor (UNISEL)










