KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi senada dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berhubung polemik takhta yang sedang melanda negeri itu.
Ahmad Zahid berkata, soal perundangan dan kuasa dalam polemik Negeri Sembilan tidak seharusnya dilihat melalui tafsiran undang-undang semata-mata kerana institusi serta struktur pemerintahan negeri itu juga perlu dihormati.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, masalah itu perlu diselesaikan secara baik di Negeri Sembilan.
“Pada hemat saya, soal interpretasi dalam perundangan dan juga soal kuasa bukan hanya melibatkan tafsiran perundangan, tetapi institusi serta struktur pemerintahan yang ada di Negeri Sembilan juga harus dihormati.
“Saya menyerahkan soal yang menjadi polemik ini sebagaimana jawapan yang diberikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan. Masalah negeri harus diselesaikan secara baik di Negeri Sembilan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Pelaburan Penyelidikan dan Inovasi Universiti 2026 (URIIS 2026) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Negeri Sembilan, Changkat Persekutuan dipercayai bagi membincangkan isu berkaitan takhta negeri itu.
Pertemuan itu berlangsung susulan perkembangan terbaharu membabitkan pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, tiada maklumat lanjut berhubung hasil pertemuan tersebut.
Kelmarin, Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua Exco terbabit telah memungkiri sumpah jawatan mereka.
Dalam pada itu, Ismail berkata, kesemua 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan masih sah untuk terus menjalankan tugas dan tiada keperluan mengemukakan senarai pelantikan yang baharu.
Ismail menjelaskan, perkara itu berdasarkan tafsiran perundangan terhadap Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, khususnya berkaitan kuasa eksekutif dan kedudukan Exco. – UTUSAN











