SERDANG: Agrobank menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Boustead Petroleum Marketing Sdn. Bhd. (BHPetrol) bagi memperkukuh ekosistem pengusaha stesen minyak BHPetrol, khususnya di kawasan pertanian dan luar bandar.
Inisiatif itu merupakan kolaborasi strategik dalam usaha membangunkan ekosistem pengusaha BHPetrol menerusi model Dealer Owned Dealer Operated (DODO) dan Company Owned Dealer Operated (CODO) yang merangkumi aspek pembiayaan, sokongan perniagaan dan pembangunan kapasiti.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, kerjasama strategik yang dimeterai antara kedua-dua pihak memberi manfaat kepada golongan petani, peladang, penternak dan nelayan, khususnya dalam mendapatkan akses kepada pembiayaan yang lebih komprehensif serta patuh syariah.
“Menerusi kerjasama ini, Agrobank dapat menyediakan pembiayaan kepada pengusaha mengikut keperluan masing-masing bagi tujuan pembangunan dan pengembangan perniagaan, khususnya di zon ekonomi pertanian dan luar bandar,” katanya ketika ditemui selepas majlis.
Pada masa yang sama, Agrobank turut menawarkan bimbingan keusahawanan kepada para pengusaha selain menyediakan kemudahan pembiayaan.
Beliau berkata, majoriti pemain industri terlibat bertumpu di kawasan luar bandar, sekali gus membuka peluang kepada Agrobank untuk memacu pertumbuhan ekonomi penduduk luar bandar menerusi pengembangan rangkaian BHPetrol di kawasan tersebut.
“Usaha ini selari dengan mandat Agrobank dalam memperkasakan sektor pertanian dan komuniti luar bandar,” katanya.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol, Fardzi Shah Razali berkata, kerjasama tersebut merupakan peluang kepada pengusaha BHPetrol untuk mengembangkan perniagaan masing-masing, khususnya golongan peladang dan penternak.
“Ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab korporat dan sosial kami untuk membantu mengembangkan peluang perniagaan dalam sektor perladangan, pertanian dan penternakan yang sering tertakluk kepada faktor musiman.
“Kos untuk membuka sebuah stesen servis boleh mencecah jutaan ringgit. Dengan menggabungkan kemudahan pembiayaan melalui kerjasama antara kedua-dua pihak, inisiatif ini dijangka dapat mengurangkan beban kewangan golongan tani yang ingin menceburi sektor peruncitan minyak,” katanya.
Beliau berkata, Agrobank dan BHPetrol komited untuk memacu pertumbuhan ekonomi serta membuka peluang baharu kepada lebih 400 pengusaha BHPetrol di seluruh Semenanjung Malaysia. – UTUSAN










