PETALING JAYA: Abang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Idrus Ibrahim meninggal dunia sebentar tadi.
Anwar memaklumkan berita duka itu menerusi hantaran di Facebook ketika sedang dalam perjalanan pulang ke Malaysia dari lawatan tiga hari di China.
“Sukar untuk saya ungkapkan rasa kehilangan ini apabila seorang sosok yang berkongsi begitu banyak kenangan sepanjang perjalanan hidup kini telah tiada dan hanya Allah SWT yang tahu betapa beratnya hati menerima kenyataan ini,” katanya.
Anwar turut meluahkan rasa terkilan kerana tidak sempat berada di sisi Allahyarham pada saat-saat terakhir.
“Terkilan kerana tidak sempat berada di sisi pada saat-saat akhirnya, namun saya reda meski hati ini masih cuba menerima sebuah perpisahan yang tidak pernah kita bersedia untuk hadapi,” katanya.
Beliau berkata, segala kenangan dan kebaikan yang ditinggalkan Allahyarham akan kekal terpahat dalam ingatan dan hati keluarga.
Anwar turut memohon orang ramai menitipkan doa buat Allahyarham agar segala khilafnya diampunkan dan roh beliau dilimpahkan rahmat oleh Allah SWT.
“Mohon teman-teman titipkan doa buat Allahyarham Idrus Ibrahim, semoga Allah SWT mengampuni segala khilafnya, melimpahkan rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh,” katanya.-UTUSAN











