KOTA BHARU: Seorang pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebajikan yang dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam kerana tidak hadir untuk pendakwaan 42 pertuduhan berkait bekalan minyak masak bersubsidi, mengemukakan sijil cuti sakit kepada pihak mahkamah.
Peguam, Nurul Atikah Che Anawa dan Nur Insyirah Yusmizul yang mewakili orang kena saman (OKS), Pui Tiong Lam, 61, mengemukakan sijil cuti sakit itu kepada mahkamah apabila lelaki itu sepatutnya didakwa atas 30 lagi pertuduhan berkaitan bekalan minyak masak bersubsidi hari ini.
Nurul Atikah berkata, anak guamnya tidak dapat hadir ke mahkamah kerana mengalami darah tinggi dan memohon waran tangkap yang dikeluarkan oleh pihak mahkamah semalam dibatalkan.
Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Siti Edabayu Subhan dalam hujahan mereka, membantah permohonan membatalkan waran tangkap tersebut dan waran itu hanya dibatal sekiranya OKS hadir.
Katanya, pihak pendakwaan tiada sebarang bantahan mengenai sijil cuti sakit yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.
Hakim Nik Habri Muhamad dalam hujahannya memohon pihak peguambela menasihati OKS untuk hadir ke mahkamah kerana lelaki itu mempunyai pertuduhan melibatkan kes yang banyak.
“Semua kes yang dihadapi OKS bukan sedikit, tetapi melibatkan 72 pertuduhan. Sebagai peguam yang dilantik, anda perlu pujuk anak guam untuk hadir menghadapi semua pertuduhan ini.
“Semalam sepatutnya OKS didakwa atas 42 pertuduhan, tetapi tidak hadir sehingga waran tangkap dikeluarkan. Bagi 30 lagi pertuduhan hari ini, OKS pula cuti sakit,” katanya.
Nik Habri kemudian menetapkan 15 Oktober ini sebagai tarikh baharu untuk OKS hadir bagi menghadapi pertuduhan tersebut.
Sementara itu, Pegawai Pendakwa, Muhammadi Iman Masjuri ketika ditemui berkata, OKS hari ini sepatutnya berdepan 30 pertuduhan di bawah Peraturan 13(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu gagal menyelenggara buku stok.
Katanya, pertuduhan itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahan.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, seorang pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebajikan dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas gagal hadir untuk menghadapi 42 pertuduhan berkaitan kegagalan menyelenggara buku stok barang kawalan berjadual minyak masak subsidi.
Tiong Lam yang juga pemilik perniagaan borong minyak masak subsidi, sepatutnya didakwa atas 41 pertuduhan gagal menyelenggara buku stok barang kawalan berjadual minyak masak subsidi pada 6 Ogos 2024 serta satu pertuduhan gagal mematuhi notis bertulis yang dikeluarkan Penolong Pengawal Bekalan pada Mac lalu. – UTUSAN











