BANGI: Seramai 4,379 pelajar sahaja yang akhirnya mendaftar sebagai pelajar baharu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada hari pendaftaran Sabtu lalu, berbanding 86,504 jumlah keseluruhan permohonan yang diterima bagi sesi kemasukan 2026/2027.
Naib Canselor UKM, Datuk Sufian Jusoh berkata, daripada jumlah permohonan itu, pada tahun ini keseluruhannya UKM menerima 86,504 permohonan hanya 10,637 pelajar yang memilih UKM sebagai pilihan pertama sebelum akhirnya seramai 4,379 sahaja yang menerima tawaran dan menjalani proses pendaftaran.
“Sambutan pelajar baharu sesi ini turut digagaskan bersama TEKAD 2057, hala tuju UKM yang menyasarkan generasi pelajar kali ini genap 57 tahun sejak penubuhan UKM pada 1970 untuk kelak memimpin Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi, berintegriti dan beridentiti nasional menjelang tahun 2057,” katanya pada sidang akhbar sempena Bacaan Ikrar dan Pendaftaran Pelajar Baharu UKM di sini hari ini.
Menurut Sufian, kemasukan kali ini menyaksikan kepelbagaian pelajar apabila UKM menerima 115 pelajar antarabangsa, 14 pelajar Orang Kurang Upaya (OKU), tujuh pelajar Orang Asli serta lapan pasangan kembar.
Katanya, dari aspek sosioekonomi seramai 57.42 peratus atau kira-kira 2,600 pelajar baharu datang daripada kalangan keluarga berpendapatan rendah, manakala 29 pelajar lain diberikan penangguhan bayaran yuran pendaftaran sehingga mereka mendapat kelulusan pembiayaan daripada sumber seperti dana bantuan UKM atau tabung zakat.
“Pada hari ini juga kita ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan daripada Maxis dan KPMG serta beberapa ahli alumni UKM yang telah menyumbangkan 20 komputer riba, di samping 4,000 naskhah Al-Quran Mufiq UKM.
“UKM turut menerima sumbangan daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia dalam bentuk bantuan sara hidup RM1,000 kepada 59 pelajar, bantuan yuran pengajian kepada 38 pelajar serta bantuan laptop kepada tujuh pelajar,” katanya.
Tambah Sufian, UKM turut membaik pulih sembilan kolej kediaman merangkumi 15 blok dengan peruntukan RM19 juta, sekali gus menambah kapasiti sebanyak 1,634 tempat.
Sufian turut mengumumkan tiga penerima baharu Biasiswa Naib Canselor sesi ini, menjadikan jumlah keseluruhan penerima biasiswa itu kepada enam orang sejak diperkenalkan tahun lalu.
“Jumlah peruntukan di bawah Biasiswa Naib Canselor kali kedua ini adalah sebanyak RM234,980, dengan setiap penerima menerima bantuan sara hidup RM800 sebulan, elaun penginapan RM720 setahun serta pengecualian yuran pengajian sepanjang tempoh empat tahun pengajian,” katanya.
Tiga penerima biasiswa itu ialah Wan Nur Mahirah Wan Harun (Sarjana Muda Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan), Saw Xin En (Sarjana Muda Undang-Undang, Fakulti Undang-Undang) dan Nur Natasha Amirah Mohd Helmi (Sarjana Muda Sains Sosial Kriminologi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan).
Sementara itu, UKM turut bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melaksanakan program Biasiswa Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) untuk dua pelajar serta program Biasiswa Sulung yang menyasarkan kira-kira 70 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dengan tajaan bernilai RM136,800.
Beliau berkata, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) mencatatkan pengambilan tertinggi dengan hampir 1,000 pelajar, diikuti Fakulti Psikologi dengan lebih 700 pelajar, manakala Fakulti Pengajian Islam dan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan masing-masing mencatatkan lebih 400 pelajar.
“Fakulti Undang-Undang pula mengambil lebih 100 pelajar. Cuma seperti yang kita maklum, Fakulti Perubatan dan Fakulti Pergigian terikat dengan kuota tertentu, dengan Fakulti Pergigian hanya mengambil 50 pelajar sahaja,” katanya.
Katanya, penerima biasiswa disyaratkan mengekalkan PNGK 4.00 sepanjang pengajian dan dipantau secara berterusan oleh Pusat Hal Ehwal Pelajar bagi memastikan kesejahteraan serta kelangsungan akademik mereka. – UTUSAN











