Walau saya pegawai polis, tidak pernah campur kerja Ayob Khan - Isteri

‘Saya pendam semua kecaman, fitnah pada Ayob’

AYOB Khan Mydin Pitchay dan isterinya, Puan Sri Zalena Mohd. Ariffin bergambar bersama cucu mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isteri kepada Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, Puan Sri Zalena Mohd. Ariffin mengakui turut menjadi ‘span’ yang menyerap pelbagai persepsi, kritikan dan tohmahan terhadap suaminya sepanjang lebih tiga dekad mereka bersama dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Zalena, beliau terpaksa mendengar pelbagai kecaman dan kata-kata negatif terhadap bekas Timbalan Ketua Polis Negara itu, termasuk daripada individu yang tidak mengetahui bahawa orang diperkatakan tersebut ialah suaminya sendiri.

“Walaupun saya pegawai polis, saya tidak pernah mencampuri urusan kerja dan sentiasa profesional antara satu sama lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kadang-kadang saya menjadi seperti span. Banyak kecaman, kata-kata negatif dan fitnah terhadap Ayob Khan yang terpaksa saya dengar dan terima.

“Malah, ada juga yang bercakap buruk mengenai Tan Sri di hadapan saya, sedangkan individu yang mereka perkatakan itu adalah suami saya,” katanya ketika ditemui pada majlis makan bersama Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA), di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Zalena berkata, beliau memilih untuk tidak menyampaikan perkara berkenaan kepada suaminya kerana mahu Ayob Khan terus memberikan tumpuan terhadap tugas dan tanggungjawabnya.

Katanya, perjalanan hidup bersama Ayob Khan selama lebih tiga dekad membolehkan beliau memahami peribadi, prinsip dan cara suaminya menjalankan tugas, terutama ketika berdepan tekanan berkaitan isu integriti.

“Saya bersamanya sejak hari pertama menyertai PDRM hinggalah apa yang beliau kecapi sekarang.

“Walaupun kami sama-sama dalam pasukan, kami sentiasa profesional. Saya tidak pernah mempergunakan nama dan jawatan suami untuk kenaikan pangkat,” katanya.

Menurut Zalena, Ayob Khan juga bukan individu yang gemar membawa pulang tekanan atau masalah kerja ke rumah.

Namun, sebagai isteri, beliau tetap bimbang terhadap keselamatan suaminya serta keluarga, terutama ketika Ayob Khan berdepan ancaman sepanjang menjalankan tugas.

“Saya sentiasa risau tentang keselamatannya. Bukan sahaja dia, malah keselamatan keluarga juga. Memang ada ancaman, tetapi suami sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.

Dalam pada itu, Zalena yang sedang menjalani rawatan kanser paru-paru tahap tiga berkata, beliau tetap menggagahkan diri hadir pada majlis penerimaan Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1448H/2026 bagi kategori Tokoh Wira Negara yang diterima Ayob Khan.

Katanya, kehadiran itu penting sebagai tanda sokongan moral kepada suaminya meskipun baru menjalani sesi kemoterapi ke-18 sehari sebelum majlis berkenaan.

“Saya bertanya kepada doktor sama ada boleh hadir. Doktor kata boleh, asalkan memakai pelitup muka dan menjaga kebersihan.

“Saya gagahkan diri kerana mahu memberikan sokongan moral kepada suami,” katanya.

Sementara itu, Ayob Khan menyifatkan pengiktirafan diterimanya bukan sekadar penghormatan peribadi, sebaliknya penghargaan bermakna kepada PDRM.

Beliau berharap pengiktirafan itu menjadi teladan kepada warga pasukan untuk terus berkhidmat dengan penuh integriti dan dedikasi.

“Saya hanya dimaklumkan menerima anugerah ini empat hari lalu. Bagi saya, ini bukan untuk saya sahaja tetapi PDRM,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini