Tanah rizab jadi ‘tong sampah’ industri - Utusan Malaysia

Tanah rizab jadi ‘tong sampah’ industri

SISA pepejal industri yang dibuang pihak tidak bertanggungjawab di tanah rizab syarikat utiliti di Kawasan Perindustrian Bentong, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Pembuangan sisa dipercayai daripada kegiatan perindustrian berhampiran tanah rizab syarikat utiliti di Kawasan Perindustrian Bentong di sini berpotensi mengakibatkan pencemaran alam sekitar dan impak kesihatan kepada penduduk.

Penduduk yang enggan namanya didedahkan berkata, kegiatan itu berlarutan sejak beberapa tahun lalu dengan lori pelbagai saiz keluar dan masuk ke kawasan berkenaan tanpa mengira waktu, termasuk pada awal pagi dan malam.

Katanya, dia sendiri melihat lori membawa sisa berbentuk separa pepejal dan cecair berwarna hitam sebelum dibuang di cerun yang kini hampir rata akibat ditimbus berulang kali.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada awalnya kawasan itu adalah cerun yang dalam tetapi sisa dibuang sedikit demi sedikit sehingga sekarang hampir menjadi kawasan rata.

“Saya juga nampak terdapat cecair dipercayai sisa daripada proses kilang mengalir keluar dari kawasan itu sebelum memasuki aliran air berhampiran,” katanya ketika ditemui.

Penduduk itu mendakwa, aliran berkenaan menuju ke Kampung Chegar Medang dan Taman Chegar Medang dan bersambung ke Sungai Benus yang kemudiannya mengalir ke Sungai Pahang.

Menurutnya, penduduk turut berdepan bau busuk terutama ketika angin bertiup, selain sisa-sisa kadangkala tercicir atas jalan sehingga terkena pada kenderaan yang melalui kawasan terbabit.

“Saya bimbang kesannya terhadap penduduk, haiwan serta sumber air jika perkara ini terus berlaku,” katanya.

Ujarnya, terdapat kira-kira 70 premis industri pelbagai saiz di kawasan berkenaan tetapi tidak dapat dipastikan pihak yang bertanggungjawab membuang sisa itu.

Katanya, wujud kemungkinan sisa itu bukan datang hanya daripada premis sekitar kawasan industri, sebaliknya dibawa dari lokasi lain untuk dilupuskan di situ.

Dia berkata, perkara itu perlu disiasat pihak berkuasa bagi menentukan sumber sebenar dan jenis sisa dibuang.

“Saya berharap Jabatan Alam Sekitar (JAS), pihak berkuasa tanah dan agensi berkaitan menjalankan pemeriksaan dan mengambil tindakan, sekiranya berlaku sebarang pelanggaran undang-undang.

“Siasatan menyeluruh perlu dilakukan bagi menentukan jenis sisa yang dibuang, sumbernya serta tahap risiko terhadap alam sekitar dan penduduk berhampiran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini