NARATHIWAT (THAILAND): Pihak berkuasa Thailand melaksanakan perintah berkurung ke atas penduduk susulan siri letupan bom dan keganasan yang berlaku di wilayah berkenaan sejak Sabtu lalu.
Seorang penduduk, Sukri Dollah, 30, berkata, kejadian letupan bom bukan lagi perkara baharu namun siri keganasan yang berlaku tetap menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Katanya, meskipun pergerakan penduduk pada siang hari tidak terjejas, waktu malam menjadi tempoh paling dibimbangi.
“Perintah berkurung dikuatkuasakan oleh kerajaan pada pukul 10 malam sehingga 6 pagi (waktu tempatan).
“Kami takut hendak keluar malam kerana risau insiden letupan berlaku lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sementara itu, Halimah Roni, 55, memberitahu, pihak berkuasa juga telah mengepung kawasan kampung malah orang luar juga tidak dibenarkan memasuki kawasan terlibat semasa operasi memburu suspek yang dipercayai bersembunyi di kawasan ladang kelapa.
“Situasi tegang ini sentiasa merisaukan saya, terutama keselamatan anak-anak yang keluar mencari rezeki.
“Siang hari rasa selamat tetapi malamnya pergerakan penduduk di sini terbatas,” ujarnya. – UTUSAN











