M.Nasir pilih Aliff Aziz, anggap pelakon kedua paling tampan di Malaysia - Utusan Malaysia

M.Nasir pilih Aliff Aziz, anggap pelakon kedua paling tampan di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penerbit dan pengarah teater muzikal Mansur & Liu, Datuk M. Nasir, menjelaskan pemilihan pelakon Aliff Aziz sebagai teraju utama dibuat berdasarkan kesesuaiannya membawakan watak seorang sultan.

Menurut M. Nasir, bukan mudah untuk mencari pelakon yang memiliki pakej lengkap bagi sebuah teater muzikal, khususnya dari segi lakonan, nyanyian dan penampilan, namun Aliff memenuhi kriteria yang diperlukan.

“Kalau tanya kenapa saya pilih Aliff, sudah tentu kami ada sebab-sebab tersendiri.

“Kalau kita tengok persembahannya ketika sesi uji bakat, dia memang sangat sesuai dengan watak ini.

“Kenapa saya pilih Aliff? Kerana dia ialah pelakon kedua paling tampan di Malaysia,” katanya berseloroh.

M.Nasir berkata demikian ketika ditemui pada sidang media teater Mansur & Liu di Istana Budaya, di sini, hari ini.

M. Nasir bagaimanapun menegaskan, Aliff tetap perlu melalui proses uji bakat seperti pelakon lain sebelum dipilih membintangi naskhah berkenaan.

“Ramai pelakon berbakat tetapi tidak memenuhi semua kriteria, terutama dari segi nyanyian.

“Sebab itu saya memang perlu cerewet. Bukan perangai saya cerewet, tetapi memang perlu. Kalau tidak, nanti kita yang menyesal.

“Sudah tentu akan ada pihak yang tidak berpuas hati, namun kami cuba mencari pelakon yang paling hampir dengan watak yang kami bayangkan dan Aliff adalah orangnya,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pementasan itu, M. Nasir berkata, hasrat untuk mengarahkan sebuah teater sudah lama terpendam sebelum akhirnya berjaya direalisasikan menerusi Mansur & Liu.

Katanya, idea menghasilkan naskhah tersebut tercetus ketika beliau terlibat dalam projek rakaman buku audio Sulalatus Salatin karya Tun Seri Lanang.

“Idea ini sebenarnya bermula enam tahun lalu apabila saya ditugaskan membaca buku audio berdasarkan penulisan Tun Seri Lanang.

“Daripada situ, saya mula tertarik untuk mendalami pelbagai kisah dalam hikayat Melayu lama. Kemudian saya menemui kisah Mansur dan Juri yang pada pandangan saya sangat menarik untuk divisualkan dalam sebuah pementasan yang lebih besar,” katanya.

Menurut M.Nasir, usaha merealisasikan naskhah itu bagaimanapun berdepan pelbagai cabaran apabila cadangan awal kepada sebuah syarikat tidak dapat diteruskan berikutan pandemik Covid-19.

“Cadangan itu pernah dibawa kepada sebuah syarikat tetapi akhirnya tidak menjadi. Kemudian datang pula pandemik Covid-19, menyebabkan idea itu terhenti seketika.

“Hanya selepas ada pihak yang berminat serta menyalurkan dana, idea ini dihidupkan semula. Akhirnya saya dapat merealisasikan apa yang selama ini hanya bermain dalam bayangan,” katanya.

Teater Mansur & Liu bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya dari 10 hingga 20 September depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×