LPF beri ruang berkarya, namun kandungan tetap ditapis

LPF beri ruang berkarya, namun kandungan tetap ditapis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Penapis Filem (LPF) memberi jaminan ruang lebih terbuka kepada penggiat industri perfileman untuk berkarya, namun kandungan yang dihasilkan tetap tertakluk kepada proses penapisan dan ketetapan ditetapkan.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, pendekatan itu selaras saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya industri perfileman negara diberikan ruang lebih luas untuk bereksperimen, menyampaikan pandangan serta mengembangkan pemikiran kreatif dan kritis.

Menurutnya, aspirasi berkenaan penting bagi memperkasa industri perfileman Malaysia supaya terus berkembang, inovatif, kompetitif dan relevan dengan perubahan masyarakat serta kemajuan teknologi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Klasifikasi dan penapisan merupakan dua proses berbeza tetapi saling melengkapi di bawah Akta Penapisan Filem 2002 (Akta 620).

“Klasifikasi menentukan kesesuaian kandungan mengikut kategori umur penonton, manakala penapisan menilai kandungan secara menyeluruh berdasarkan undang-undang, dasar dan garis panduan yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KDN berkata, pemberian klasifikasi umur tidak bermakna sesebuah filem dikecualikan daripada proses penapisan.

Sebaliknya, setiap filem tetap dinilai LPF dengan mengambil kira adegan, dialog, audio, tema, perlakuan dan konteks penceritaan secara keseluruhan.

Jelasnya, sesuatu kandungan tidak semestinya memerlukan pemotongan sekiranya hasil penilaian mendapati ia masih sesuai dikekalkan.

“Sekiranya sesuatu kandungan didapati tidak memenuhi ketetapan tersebut, LPF akan mempertimbangkan tindakan atau penyesuaian yang bersesuaian berdasarkan konteks dan tahap risikonya.

“Kandungan yang tidak dapat disesuaikan bagi memenuhi ketetapan yang ditetapkan tidak akan diluluskan untuk tayangan,” katanya.

Dalam pada itu, KDN berkata pihaknya bersama LPF akan terus menyediakan ruang kepada penggiat seni menghasilkan karya kreatif, segar, kritis dan berkualiti.

Katanya, keterbukaan dalam berkarya perlu bergerak seiring tanggungjawab memelihara keselamatan, ketenteraman awam, keharmonian masyarakat dan kepentingan negara.

“Keseimbangan ini penting dalam membina ekosistem perfileman Malaysia yang matang, berdaya saing dan diyakini masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini