PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini, hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan bekas penyampai radio, Ismahalil Hamzah dengan menjatuhkan hukum penjara 30 tahun atas kesalahan mengedar dadah.
Tiga panel hakim dipengerusikan Datuk Noorin Badaruddin bersama Datuk Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashim Abdul Hamid sebulat suara memutuskan hukuman itu bermula hari ini.
Panel hakim mendapati, terdapat alasan yang cukup bagi membolehkan pihaknya mengganggu dapatan Hakim Mahkamah Tinggi di akhir kes pembelaan.
Ketika membaca penghakiman ringkas, Hakim Radzi menyatakan, terdapat alasan yang mencukupi bagi membolehkan Mahkamah Rayuan mengganggu dapatan Hakim Mahkamah Tinggi di akhir kes pembelaan.
“Terdapat kekhilafan menilai secara wajar keterangan pihak pembelaan. Hakim bicara gagal mempertimbangkan fakta bahawa hanya responden (Ismahalil) mempunyai akses kepada bilik yang mana dadah kanabis ditemui.
“Sebaliknya, kami mendapati responden gagal membangkitkan keraguan munasabah atas kes pendakwaan dan gagal memintas anggapan pemilikan dan pengedaran dadah berada di bawah kawalannya.
“Berdasarkan keseluruhan bukti, tertuduh mempunyai pengetahuan, pemilikan dan kawalan dadah tersebut. Pihak pendakwaan telah berjaya membutikan kes mereka melangkaui keraguan munasabah. Oleh itu, kami membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mengenepikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan responden (Ismahalil) dari pertuduhan,” katanya.
Peguam Hermes Media Putra Ibrahim merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan kerana Ismahalil merupakan penanggung tunggal keluarga.
Pada 17 Julai 2023, Ismahalil, 53, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis pada September 2021. – UTUSAN










