Hasil perbincangan PN-BN sangat positif – Hadi

Hasil perbincangan PN-BN sangat positif – Hadi

ABDUL Hadi Awang bercakap dalam sidang akhbar pada Majlis Makan Malam Amal Pas Melaka di sebuah hotel di Ayer Keroh, Melaka, semalam. – UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pas mengesahkan per­bincangan tidak rasmi antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) bagi men­jalin kerjasama menghadapi Pi­lihan Raya Negeri (PRN) Melaka sudah dimulakan tiga hari lalu.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perbincangan yang berlangsung di peringkat pimpinan pusat me­nunjukkan perkembangan sangat positif, sekali gus memberi gambaran awal mengenai kemungkinan kerjasama antara kedua-dua gabungan.

“Alhamdulillah, sangat po­sitif hasil perbincangan an­tara PN dan BN tiga hari lalu. Kita mengambil semangat daripada apa yang berjaya di Johor dan di Negeri Sembilan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Makan Malam Amal Pas Melaka di sebuah hotel di Ayer Keroh di sini malam semalam.

Hadir sama Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pesuruhjaya Pas Melaka, Zulkifli Ismail.

Ditanya mengenai kemungkinan peratusan kerjasama antara BN dan PN dapat dicapai bagi menghadapi PRN Melaka, beliau berkata, perkara itu masih terlalu awal untuk diperkatakan.

“Itu masih peringkat awal. Peringkat awal pun sudah menandakan prestasi yang sangat baik,” katanya.

Abdul Hadi yang ditanya mengenai strategi Pas di Me­laka susulan perkembangan kerjasama politik di Johor dan Negeri Sembilan bagaimanapun enggan mendedahkannya buat masa ini.

“Tiupan wisel permainan belum ditiupkan,” katanya secara berseloroh.

Beliau berkata, rundingan selanjutnya akan diteruskan dalam masa terdekat.

Katanya, perkembangan itu merupakan petunjuk awal bahawa rundingan kerjasama antara PN dan BN bagi menghadapi PRN Melaka memasuki fasa baharu, meskipun bentuk kerjasama serta pembahagian kerusi belum diputuskan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×