PETALING JAYA: Cadangan menaikkan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM3,100 sebulan adalah tidak munasabah dan tidak praktikal kerana peningkatan itu membabitkan peningkatan kira-kira 82 peratus.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, kenaikan tersebut bukan satu pelarasan kecil, sebaliknya melibatkan perubahan struktur kos tenaga kerja yang sangat besar.
Menurut beliau, kadar RM3,100 tidak seharusnya dijadikan angka mandatori tanpa penilaian menyeluruh terhadap keadaan ekonomi dan pasaran buruh semasa.
“Gaji minimum ialah lantai gaji berkanun, manakala gaji kehidupan wajar merupakan konsep lebih luas yang mengambil kira keperluan kehidupan seseorang atau isi rumah. Kedua-duanya tidak semestinya boleh disamakan.
“Matlamat utama bukan sekadar menentukan satu angka gaji minimum yang lebih tinggi, tetapi memastikan kenaikan itu mampan dan tidak menjejaskan peluang pekerjaan serta daya saing perusahaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Media sebelum ini melaporkan, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan gaji kehidupan sebanyak RM3,100 sebulan wajar dijadikan rujukan dalam menetapkan kadar gaji minimum baharu.
Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, cadangan itu munasabah berdasarkan keadaan semasa dengan mengambil kira peningkatan kos sara hidup, inflasi serta harga makanan, perumahan, pengangkutan dan keperluan asas.
Mengulas lanjut, Syed Hussain berkata, sebarang cadangan kadar gaji minimum perlu diserahkan kepada Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) yang bertanggungjawab mengkajinya sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh dua tahun.
Menurut beliau, majlis berkenaan dianggotai pakar penyelidikan serta wakil kesatuan sekerja, majikan, industri dan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).
“Sebarang cadangan akan mengambil kira semua segmen pekerjaan. Kita tidak boleh menggunakan pendekatan satu kadar sesuai untuk semua,” katanya.
Beliau berkata, kenaikan gaji pokok sebanyak 82 peratus turut meningkatkan caruman berkanun, bayaran kerja lebih masa, faedah pekerjaan dan kos tenaga kerja lain.
Katanya, majikan dalam sektor bermargin kecil mungkin terpaksa mengurangkan pengambilan pekerja, menaikkan harga, mempercepatkan automasi atau mengecilkan operasi.
Dalam pada itu, Syed Hussain berkata, pekerja berpengalaman dan berkemahiran tinggi tidak seharusnya kekal menerima gaji minimum sekiranya nilai serta produktiviti mereka meningkat.
“Pendekatan yang lebih baik adalah memastikan pekerja mempunyai laluan kemajuan gaji yang jelas berdasarkan kemahiran, produktiviti dan tanggungjawab.
“Gaji lebih tinggi mesti datang bersama produktiviti lebih tinggi supaya kenaikan itu dapat dikekalkan oleh majikan dan dinikmati pekerja dalam jangka panjang,” katanya. – UTUSAN











