PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Allahyarham Qayyim Ajwad yang meninggal dunia, pagi tadi.
Ahmad Zahid berkata, berita pemergian pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka itu benar-benar meruntun hatinya.
Menurutnya, sejak kemalangan menimpa rombongan pelajar sekolah berkenaan tempoh hari, beliau tidak pernah putus mendoakan agar semua mangsa yang sedang menerima rawatan diberikan kesembuhan.
“Anak-anak di SM Imtiaz Ulul Albab ini saya sudah anggap seperti anak-anak saya sendiri.
“Sebab itu setiap perkembangan mereka amat dekat di hati saya dan kehilangan seorang daripada mereka merupakan satu berita yang amat memilukan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau yang juga pengasas institusi berkenaan turut mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Qayyim Ajwad, warga sekolah serta rakan-rakan yang turut merasai kehilangan itu.
Beliau mendoakan agar keluarga Allahyarham diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian berat tersebut.
“Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan dan ketabahan kepada seluruh keluarga dalam menghadapi ujian yang amat berat ini,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut mengajak orang ramai menghadiahkan al-Fatihah dan mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT.
“Semoga segala dosa Allahyarham diampunkan, amal kebaikannya diterima dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman,” katanya.
Terdahulu, seorang guru parah manakala tiga pelajar dari sekolah berkenaan cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Solok Duku, Melaka.
Kesemua mangsa dilaporkan dalam perjalanan balik selepas menyertai pertandingan ping pong di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Cheng. – UTUSAN










