UPM, PNSB angkat Rumah Bumbung Panjang Selangor sebagai makmal ilmu warisan

UPM, PNSB angkat Rumah Bumbung Panjang Selangor sebagai makmal ilmu warisan

DR. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah berucap dalam majlis Pecah Tanah Pembinaan Rumah Bumbung Panjang Selangor menjadi simbol komitmen UPM dalam memperkasa pemeliharaan warisan budaya serta memperkukuh hubungan universiti dengan komuniti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Sebuah rumah tradisional Selangor berinspirasikan seni bina Rumah Bumbung Panjang daripada Sabak Bernam bakal dibangunkan di Muzium Warisan Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Hasrat tersebut sebagai usaha besar dalam mengangkat khazanah dan warisan negeri kepada sumber ilmu untuk dikembangkan oleh generasi muda.

Projek Rumah Bumbung Panjang Selangor itu direalisasikan menerusi kerjasama strategik antara UPM dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) bagi memperkukuh identiti budaya Selangor.

Selain itu, projek berkenaan menjadikan universiti sebagai ruang pertemuan antara ilmu, sejarah dan warisan bangsa.

Rumah berkenaan dibangunkan berdasarkan rujukan sebuah rumah Bugis Bumbung Panjang di Lot 5318, Batu 1, Kampung Sepintas, Sabak Bernam milik Zainal Abidin Mohamad yang dianggarkan dibina sekitar tahun 1890.

Warisan seni bina tersebut kini diangkat semula sebagai dokumen budaya yang boleh dikaji, disentuh dan difahami oleh pelajar, penyelidik serta masyarakat umum melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman.

Pembinaan Rumah Bumbung Panjang Selangor itu turut memenuhi hasrat Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan Selangor merangkap Tuanku Canselor UPM supaya Muzium Warisan Melayu terus dipulihara dan dimanfaatkan sebagai markas ilmu.

Ketika ini, Muzium Warisan Melayu UPM menempatkan empat rumah tradisional Melayu iaitu Rumah Negeri Sembilan, Rumah Negeri Pahang, Rumah Negeri Perak dan Rumah Negeri Terengganu.

Kewujudan Rumah Bumbung Panjang Selangor kelak akan menambah sumber koleksi dan penelitian terhadap naratif warisan rumah Melayu di muzium tersebut.

Ini akan memberi wajah baharu terhadap usaha UPM bagi menjadikan khazanah warisan sebagai sebahagian daripada intisari dalam pembelajaran yang merentas disiplin.

PNSB tampil sebagai rakan strategik menerusi sumbangan sebanyak RM250,000 bagi membiayai kos pembinaan rumah tradisional itu.

Komitmen tersebut selari dengan peranan PNSB sebagai syarikat korporat di bawah Kerajaan Negeri Selangor dalam mendukung agenda pembangunan yang turut merangkumi pembinaan nilai, jati diri dan pemeliharaan tamadun bangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim berkata, sumbangan itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Selangor melalui anak syarikatnya dalam memacu pembangunan yang turut menitikberatkan nilai, jati diri dan peradaban bangsa.

“Melalui sumbangan ini, kita bukan sahaja membina sebuah struktur fizikal, malah menyediakan ruang ilmu yang mencerminkan kebijaksanaan, falsafah dan ketinggian tamadun bangsa.

“Pembinaan rumah ini hanyalah satu permulaan dimana tanggungjawab yang lebih besar ialah memastikan pengisian program dan pemanfaatan ilmunya dilaksanakan secara menyeluruh serta berterusan,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah berkata, projek tersebut membuktikan bahawa universiti bukan sahaja berperanan melahirkan graduan yang cemerlang dan berdaya saing.

“Malah bertanggungjawab menyuburkan korpus ilmu serta memelihara memori bangsa agar terus relevan dengan keperluan pendidikan masa kini.

“Rumah tradisional bukan sekadar binaan fizikal berasaskan kayu. Setiap satunya menyimpan falsafah hidup, kebijaksanaan masyarakat, teknologi tempatan, seni ukiran, hubungan manusia dengan alam dan cara orang Melayu membina kehidupan berkomuniti.

“Apabila rumah ini dibangunkan di UPM, ia akan menjadi makmal pembelajaran dan kelas terbuka yang membolehkan pelajar, penyelidik, pencinta warisan, pelawat serta generasi muda memahami asal usul dan nilai warisan mereka,” katanya.

Dari aspek seni bina, Rumah Bumbung Panjang Selangor menampilkan keunikan tersendiri menerusi ciri seperti loteng, beranda berbumbung perabung panjang, tebar layar berlapis, ukiran tebuk tembus bercorak organik dan geometrik, daun tingkap boleh laras serta hiasan cucur atap bermotif lebah tergantung.

Ciri-ciri itu menjadikan rumah berkenaan bukan sekadar tarikan visual, tetapi bahan kajian yang kaya dengan nilai estetika, falsafah, kemahiran dan kehalusan seni pertukangan, serta kearifan tempatan.

Ini akan membuka ruang yang lebih luas kepada kajian dalam bidang seni bina, bahasa, budaya, komunikasi, sejarah, pelancongan warisan, pendidikan komuniti dan pengajian Melayu.

Projek itu turut melalui proses pemurnian bersama pihak berkepakaran termasuk Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor serta lawatan lapangan ke Sabak Bernam bagi memastikan reka bentuk yang dibangunkan menepati ciri warisan Selangor.

Selain menjadi koleksi tetap muzium, Rumah Bumbung Panjang Selangor akan menjadi sebahagian daripada eko-sistem budaya dan warisan menerusi ruang pengisian ilmu dan aktiviti masyarakat berkonsepkan edu-tourism dan juga medan penyebaran budaya kepada pelajar antarabangsa.

Ia juga boleh dimanfaatkan untuk program pendidikan warisan, lawatan akademik, penyelidikan, aktiviti komuniti, pameran budaya, sesi bercerita, demonstrasi seni tradisi serta inisiatif pelancongan warisan di Selangor.

Kerjasama UPM dan PNSB itu membuktikan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi dan syarikat korporat negeri mampu menggabungkan kepakaran pelbagai disiplin dalam usaha memelihara warisan bangsa untuk generasi akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN