PETALING JAYA: Letupan bom tangan (grenad) yang mengorbankan dua anggota Tentera Darat (TDM) di Kem Hobart, Kedah pada 16 Jun lalu berpunca daripada tuas keselamatan yang dipercayai terlepas sebelum balingan sempat disempurnakan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dapatan itu diperoleh berdasarkan kedudukan letupan, bukti di lokasi kejadian dan analisis kesan kecederaan dialami mangsa.
Menurutnya, pembaling mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala dan tangan kanan manakala pengasuh latihan cedera parah pada kepala, badan serta anggota sebelah kiri.
“Corak kecederaan tersebut adalah selaras dengan dapatan bahawa grenad berfungsi sebelum sempat dibaling dan meletup ketika masih berada berhampiran bahagian atas kedua-dua anggota.
“Bagaimanapun, ketiadaan saksi yang melihat kejadian secara langsung menyebabkan tidak dapat dipastikan pada ketika mana tuas keselamatan itu terlepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 16 Jun lalu, dua anggota TDM maut dalam kejadian letupan bom tangan ketika menjalani latihan peningkatan tempur di Lapang Sasar Kem Hobart.
Letupan dalam kubu yang berlaku pada pukul 10.57 pagi itu menyebabkan Allahyarhamah Lans Koperal Siti Khadijah Sungip dan Allahyarham Sarjan Nor Azmi Abu Bakar mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.
Hasil siasatan berkenaan, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memperkukuh prosedur keselamatan, tatacara pengendalian grenad, tahap pengawasan dan pelaksanaan latihan bagi mengurangkan risiko kejadian sama berulang.
Katanya, aspek keselamatan anggota akan terus menjadi keutamaan dalam setiap latihan ketenteraan.
“Tiada kompromi dalam memastikan semua latihan dilaksanakan dengan tahap pematuhan, pengawasan dan keselamatan yang tertinggi,” katanya. – UTUSAN










