PARIS: Perancis menggantung penggunaan bom tangan renjatan oleh polis ketika demonstrasi diketuai pelajar susulan peningkatan dakwaan kekerasan polis selepas beberapa hari demonstrasi yang bertukar ganas di seluruh negara.
Puluhan ribu penunjuk perasaan menyertai demonstrasi di seluruh Perancis bagi menuntut keadaan lebih baik di sekolah menengah, mendorong Presiden, Emmanuel Macron mengadakan mesyuarat tergempar bersama Perdana Menteri, Sebastien Lecornu dan beberapa menteri kanan lain bagi mencari jalan keluar daripada krisis itu.
Lecornu akan menyampaikan ucapan kepada umum mengenai protes pelajar serta keadaan kewangan negara, kata pejabatnya.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Laurent Nunez memberitahu stesen radio RTL awal Rabu, beliau menggantung penggunaan bom tangan renjatan oleh polis dalam protes berkenaan.
Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun kehilangan sebelah tangan pada Isnin selepas polis melepaskan bom tangan renjatan itu.
Seorang lagi pelajar berusia 14 tahun di barat laut Paris terkena bom tangan gas pemedih mata pada jarak dekat di muka sehingga menyebabkan dia kehilangan beberapa batang giginya. Seorang anggota polis didakwa pada Selasa berhubung kejadian itu.
Menurut Nunez, polis membuka 18 siasatan dalaman terhadap dakwaan salah laku sejak protes bermula.
Protes bermula pada akhir September apabila pelajar menghalang pintu masuk ke ratusan sekolah menengah untuk pelajar berusia 15 hingga 17 tahun susulan aduan mengenai kemudahan yang uzur serta kekurangan guru.
Ibu bapa, guru dan pekerja kesatuan turut menyertai demonstrasi di Paris dan bandar-bandar lain pada Selasa di tengah-tengah tuduhan bahawa polis menggunakan kekerasan secara berlebihan.
Pertembungan ganas berlaku secara berselang-seli antara polis dan penunjuk perasaan dalam demonstrasi yang kebanyakannya berlangsung secara aman.
Lecornu mengecam keganasan itu dan memberitahu anggota Parlimen tindakan ganas tidak akan diterima, selain menolak dakwaan kerajaan mengarahkan tuduhan kekerasan polis terhadap penunjuk perasaan.
Lebih 6,500 orang, kebanyakannya bawah umur, telah ditahan.-AFP










