ATM buat pembersihan penuh, pulih imej pasukan

ATM buat pembersihan penuh, pulih imej pasukan

MALEK Razak Sulaiman Memeriksa Kawalan Kehormatan Utama pada Sambutan Mula Tugas PAT Ke-24 di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjanji melakukan pembersihan penuh bagi memulihkan imej dan integriti pasukan itu.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman berkata, beliau bersama panglima-panglima ATM yang lain akan melakukan pembersihan menyeluruh.

Beliau menegaskan, pengurusan tertinggi ATM di bawah kepimpinannya tidak akan berkompromi dengan perkara atau tindakan yang melanggar tatakelola termasuk aspek pe­ngurusan kewangan dan perolehan.

“Itu adalah janji kita, janji saya dan janji semua yang berada di belakang saya,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Pertahanan di sini semalam.

Turut hadir, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr. Zulhelmy Ithnain; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman dan Pang­lima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.

Sebelum ini, bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dan bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa. bagaimanapun mereka mengaku tidak bersalah.

Malek Razak berkata, masalah yang menghimpit ATM sebelum ini merupakan wake up call atau panggilan untuk ATM bangun.

Katanya, perkara yang berlaku itu juga membawa hikmah kepada ATM iaitu mengajar untuk melihat kembali dan bermuhasabah diri sama ada sebagai individu mahupun organisasi.

“Ia meminta kita untuk kembali memulihkan keadaan supaya ATM lebih stabil dan bersedia sebab organisasi ATM adalah sebuah organisasi yang berdaya tahan,” katanya.

Beliau berkata, kini merupakan masa untuk ATM bangkit semula dan menguruskan masalah yang sudah berlaku.

“Jadi, saya berjanji dan saya percaya dengan adanya panduan strategik daripada Kementerian Pertahanan (Mindef) dan saya mendapat mandat utama daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

“Itu memberikan satu keyaki­nan baharu untuk kami, saya dan semua panglima untuk te­rus melihat tatakelola ini, memperbetulkan dan terus me­nganjak menuju angkatan masa hadapan sebagaimana yang digariskan dalam pelan strategik ATM,” katanya.

Sementara itu, Malek Razakberkata, ATM akan mengemukakan rayuan kepada kerajaan bagi membolehkan perbelanjaan operasi dilepaskan susulan pembekuan sementara perolehannya.

Beliau berkata, pembekuan tersebut memberi kesan langsung kepada operasi harian ATM, khususnya pelaksanaan tugasan di lapangan.

Katanya, pembekuan itu bagaimanapun tidak mengganggu pelan pembangunan (deve­lopment plan) ATM memandang­kan ia boleh ditangguhkan dan dimitigasi kemudian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN