PETALING JAYA: Tropicana Corporation Berhad (Tropicana) memeterai kerjasama dengan kumpulan hospitaliti antarabangsa, Accor bagi memperkenalkan kondominium hotel (kondotel) berjenama menerusi Mercure Living Genting Highlands di Tropicana Grandhill seluas 45.32 hektar.
Pembangunan pertama Accor di Malaysia itu dijadualkan dibuka pada 2028, merangkumi 1,443 unit suite berperabot lengkap yang direka untuk memenuhi keperluan yang semakin berkembang dalam kalangan tetamu penginapan jangka panjang, pelancong rekreasi serta pemilik kediaman.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tropicana Corporation Berhad, Dennis Ng berkata, syarikat kini memberi tumpuan kepada pembentukan sumber pendapatan yang lebih mampan bagi melengkapkan perniagaan pembangunan hartanah.
“Selama lebih empat dekad, Tropicana membina reputasi sebagai antara pemaju perbandaran utama negara.
“Seiring perubahan pasaran, kami turut mengembangkan model perniagaan untuk mewujudkan platform yang lebih kukuh dan seimbang bagi pertumbuhan jangka panjang.
“Objektif kami adalah melengkapkan perniagaan pembangunan tradisional dengan sumber pendapatan berulang yang mampan, sekali gus meningkatkan nilai kepada pemegang saham serta memperkukuh daya tahan perniagaan.
“Kerjasama dengan Accor membuktikan bagaimana jenama hospitaliti global mampu membuka nilai baharu daripada pembangunan kami,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian antara Tropicana Sierra Sdn. Bhd. dan Accor dengan Mercure Living Genting Highlands, di sini semalam.
Kerjasama berkenaan membolehkan Tropicana mengintegrasikan jenama hospitaliti antarabangsa dalam pembangunan terpilih bagi meningkatkan daya tarikan projek, mengukuhkan keyakinan pembeli dan mewujudkan aset hospitaliti yang diurus secara profesional.
Melalui kerjasama itu, pemilik unit Mercure Living Genting Highlands bakal menikmati akses kepada rangkaian tempahan global Accor, program kesetiaan ALL – Accor Live Limitless, perkhidmatan pengurusan sewaan profesional.
Ia termasuk piawaian operasi bertaraf antarabangsa yang berpotensi menjana pendapatan sewaan dan meningkatkan nilai aset dalam jangka panjang.
Inisiatif tersebut turut menyokong strategi Tropicana membangunkan perbandaran bersepadu yang menggabungkan komponen kediaman, komersial, hospitaliti dan gaya hidup dalam satu ekosistem.
Dennis berkata, model bersepadu itu berpotensi untuk diperluaskan ke pembangunan terpilih dalam portfolio nasionalnya, khususnya di destinasi pelancongan, gaya hidup, kawasan pesisir air dan tanah tinggi,
“Antara lokasi yang dikenal pasti bagi peluang masa depan ialah Tropicana WindCity di Genting Highlands, Lido Waterfront Boulevard di Johor, Tropicana Cenang di Langkawi.
“Ia turut merangkumi beberapa pembangunan pesisir pantai dan resort lain di Genting Highlands, Johor dan Langkawi, di mana elemen hospitaliti dan pembangunan destinasi mampu meningkatkan nilai jangka panjang,” ujarnya.
Usaha transformasi itu disokong menerusi platform digital T360 yang menggabungkan pengurusan hartanah, kandungan gaya hidup dan program kesetiaan pelanggan dalam satu ekosistem dan T Journey yang menawarkan perkhidmatan pengurusan sewaan profesional serta pengalaman pelancongan dan hospitaliti.
Kedua-dua platform itu dijangka meningkatkan penglibatan pelanggan, memperkukuh kesetiaan pemilik hartanah dan mewujudkan sumber pendapatan baharu berasaskan perkhidmatan. – UTUSAN










