KUALA LUMPUR: Touch ‘n Go Sdn. Bhd memperkenalkan lorong Pengenalan Frekuensi Radio Ditambah Baik (Enhanced RFID) yang berupaya meningkatkan kelajuan pemanduan dan kelancaran kenderaan menerusi plaza tol, sekali gus menjadi langkah awal sebelum negara beralih ke arah Sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF).
Sistem itu menggabungkan Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) sebagai teknologi pengesanan utama disokong oleh Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR), Kecerdasan Buatan (AI), Pembelajaran Mesin (ML) dan pengesanan LIDAR bagi mewujudkan lapisan pengesahan berganda.
Ketua Pegawai Eksekutif Touch ‘n Go, Praba Sangarajoo berkata, fasa transisi daripada sistem Aliran Bebas Lorong Tunggal (SLFF) ke MLFF perlu dimulakan dengan mengukuhkan kecekapan sistem berpalang terlebih dahulu bagi membina keyakinan pengguna.
Katanya, menerusi ujian dan data operasi yang direkodkan di Plaza Tol Alam Impian sejak Februari lalu, penggunaan sistem baharu ini berjaya meningkatkan jumlah kenderaan sehingga 18 peratus pada hari bekerja dan 30 peratus pada hujung minggu tanpa sebarang kempen promosi khas.
“Peningkatan penggunaan sebanyak 30 peratus ini membuktikan aliran trafik menjadi semakin lancar apabila keyakinan pengguna bertambah.
“Bagi merealisasikan sistem MLFF tanpa palang kelak, prasyarat utamanya ialah sekurang-kurangnya 85 peratus pengguna jalan raya berdaftar dan menggunakan pendaftaran plat nombor serta RFID.
“Oleh itu, kami melabur dalam pembinaan lorong ini dan menyasarkan untuk memasang sekitar 12 lagi lorong serupa menjelang akhir tahun ini bagi memberi pengalaman pemanduan yang lebih lancar kepada pengguna,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, gabungan pelbagai lapisan teknologi pengesanan adalah kunci utama kepada pencapaian ketepatan 99.98 peratus itu dan bukannya bergantung kepada satu jenis teknologi semata-mata.
RFID pula kekal sebagai teras utama kerana ia lebih meyakinkan dan tidak mudah terjejas oleh faktor persekitaran ekstrem berbanding sistem berasaskan kamera semata-mata selain berupaya mengekang risiko pengklonan tag.
“Perjalanan terbaik adalah perjalanan yang tidak disedari oleh pengguna. Tiada sesiapa yang memulakan perjalanan sambil berfikir sama ada transaksi tol mereka akan berjaya atau tidak, mereka hanya berharap ia berjalan lancar.
“Pencapaian ketepatan 99.98 peratus ini terhasil daripada gabungan RFID, ANPR, LIDAR dan AI/ML yang saling melengkapi serta mengesahkan antara satu sama lain.
“Pendekatan berlapis ini memberi keyakinan kepada kami untuk menyajikan pengalaman pengguna tanpa palang yang lancar dan selamat,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Teknologi Touch ‘n Go, Desmond Chin Ye Foong berkata, susun atur baharu itu menampilkan dua antena RFID berasingan (Antena A dan Antena B) yang dipasang secara strategik sebelum dan selepas kawasan palang.
“Apabila kenderaan memasuki zon pengesanan, Antena A akan mengesan tag RFID seawal mungkin untuk membuka palang.
“Sekiranya transaksi tidak berjaya dan pemandu membuat penambahan baki (top-up) serta-merta, Antena B akan mengambil alih secara automatik untuk menyemak baki terbaharu secara masa nyata dan membuka palang tanpa memerlukan kenderaan mengundur.
“Pendekatan pengurusan frekuensi radio (RF) dan seni bina IoT yang diselaraskan ini memastikan pengesanan tepat pada lorong berkenaan tanpa berlaku gangguan pautan isyarat dengan lorong bersebelahan,” katanya.
Menurut Desmond lagi, Touch ‘n Go turut mengetengahkan fungsi SOS Balance pada Touch ‘n Go eWallet yang bertindak sebagai pelan keselamatan sekiranya baki akaun pengguna tidak mencukupi ketika melalui plaza tol.
Katanya, sejak dilancarkan, fungsi SOS Balance telah berjaya melancarkan lebih 36 juta perjalanan tanpa gangguan sekaligus mengelakkan kenderaan tersangkut di plaza tol dan membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas.
“Analisis log kami menunjukkan kes kenderaan tersangkut di lorong tol sebahagian besarnya berpunca daripada baki akaun yang tidak mencukupi atau akaun yang digantung.
“Menerusi ciri SOS Balance, kami memberikan ruang kredit mikro supaya perjalanan pengguna tidak terganggu dan lorong tol kekal lancar.
“Setakat ini, ciri ini telah berjaya membantu menyelamatkan lebih 36 juta perjalanan. Ini adalah sebahagian daripada komitmen kami untuk memastikan fasa transisi ke arah teknologi tol yang lebih moden berjalan dengan lancar tanpa menyusahkan pengguna,” katanya. – UTUSAN







