PETALING JAYA: TNG eWallet menerusi GOfinance merekodkan 8.5 juta pengguna perkhidmatan kewangan setakat 31 Ogos 2026, meningkat kira-kira 22 peratus tahun ke tahun dan meneruskan pertumbuhan dua angka sejak 2024.
Lebih empat juta pengguna melakukan transaksi perkhidmatan kewangan menerusi GOfinance setiap bulan.
Ketua Pegawai Perkhidmatan Kewangan TNG Digital Sdn. Bhd. (TNG Digital), Desmond Teoh berkata, orang ramai mahu meningkatkan simpanan, melindungi keluarga dan menghantar wang kepada keluarga tanpa menjadikan urusan harian lebih rumit.
“GOfinance menggabungkan perkhidmatan ini dalam satu aplikasi yang biasa digunakan.
“Dengan hampir separuh pengguna GOfinance menggunakan pelbagai produk, TNG eWallet semakin menjadi teman digital harian yang membantu rakyat Malaysia menguruskan kewangan melangkaui pembayaran,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, hampir 46 peratus menggunakan lebih daripada satu produk perkhidmatan kewangan, menunjukkan peranan TNG eWallet yang kini berkembang melangkaui perkhidmatan pembayaran.
Beliau berkata, menerusi GOfinance, pengguna boleh mengakses perkhidmatan pengurusan kekayaan, insurans, pembiayaan, kiriman wang, Kad Visa TNG eWallet serta pelbagai kemudahan kewangan harian dalam satu hab kewangan.
“Pengguna boleh bermula dengan produk yang diperlukan dan mengakses produk lain apabila keperluan mereka berubah tanpa perlu menggunakan platform yang berasingan.
“GOfinance beroperasi menerusi model platform terbuka dengan menggabungkan capaian TNG eWallet yang mempunyai lebih 27 juta pengguna bersama kepakaran institusi kewangan dan penyedia perkhidmatan yang dipercayai,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, hampir satu daripada tiga pengguna TNG eWallet kini menggunakan GOfinance.
“Pengguna mendapat akses kepada pilihan perkhidmatan yang lebih luas, manakala rakan kongsi pula dapat mencapai jutaan bakal pelanggan dalam satu platform.
“TNG eWallet menyediakan capaian dan hubungan harian dengan pengguna, manakala rakan kongsi kami membawa kepakaran kewangan khusus.
“Kami mahu bekerjasama dengan lebih banyak rakan kongsi bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berbeza serta menyediakan perkhidmatan yang relevan kepada lebih ramai rakyat Malaysia menerusi GOfinance,” katanya.
GOfinance turut menyokong keutamaan keterangkuman dan literasi kewangan Malaysia di bawah Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026-2030 dengan menjadikan perkhidmatan kewangan terkawal selia lebih mudah dicari, difahami dan digunakan. – UTUSAN











