PETALING JAYA: Semua pihak yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diingatkan untuk menghentikan sebarang bentuk aktiviti kempen selepas tempoh rasmi berkempen berakhir pada 11.59 malam ini.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, tiada lagi aktiviti meraih sokongan dibenarkan selepas tempoh itu termasuk secara bersemuka atau melalui platform media sosial seperti Facebook, X, Instagram, TikTok, Threads dan saluran lain.
“SPR turut mengingatkan semua parti atau calon bertanding adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung pada hari mengundi kerana perkara tersebut adalah satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Shahril berkata, pengundi juga diingatkan supaya tidak menggunakan telefon bimbit ketika berada di saluran mengundi dan notis larangan akan dipamerkan di kawasan berkenaan sebagai panduan.
“Pengundi yang membawa telefon bimbit ke tempat mengundi perlu meletakkan telefon bimbit di tempat yang telah disediakan setelah menerima kertas undi dan mengambilnya semula setelah selesai mengundi,” katanya.
Pada masa sama, pengundi dinasihatkan tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan digalakkan mengikut cadangan waktu yang dipaparkan menerusi aplikasi MySPR Semak.
“Walau bagaimanapun, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari pukul 8 pagi hingga 6 petang atau mengikut waktu pusat mengundi diwartakan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pengundi supaya membawa kad pengenalan ketika hadir ke pusat mengundi serta membuat semakan awal maklumat pengundian bagi melancarkan proses pengundian.
“Pengundi diingatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya,” katanya.
Selain itu, majikan diingatkan agar membenarkan tempoh yang munasabah kepada pekerja mereka yang layak sebagai pemilih berdaftar untuk keluar mengundi dalam PRN Johor esok sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
SPR turut melaksanakan semakan peralatan mengundi termasuk peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi dan petak undi sebelum diagihkan kepada Ketua Tempat Mengundi (KTM) di setiap saluran bagi memastikan kelancaran proses pengundian esok. – UTUSAN










