PETALING JAYA: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin terus melakar sejarah peribadi apabila dianugerahkan Ijazah Sarjana Kehormat Seni Kreatif dan Media daripada Sunway University, pada Khamis.
Penganugerahan tersebut merupakan satu pengiktirafan tertinggi terhadap sumbangan luar biasa penyanyi itu terhadap perkembangan seni kreatif tempatan selama hampir tiga dekad.
Menurut Siti, anugerah tersebut bukan sekadar kejayaan peribadi, malah penghormatan besar buat seluruh anak seni di Malaysia.
“Alhamdulillah, pengiktirafan Ijazah Sarjana Kehormat dalam bidang Seni Kreatif dan Media daripada Sunway University ini adalah satu penghormatan yang sangat besar.
“Ini bukan sahaja penghargaan untuk perjalanan seni saya seorang, tetapi juga satu pengiktirafan tertinggi buat seluruh warga industri muzik dan seni kreatif tanah air,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Siti turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pengurusan Sunway University di atas kesudian memberikan penghormatan yang disifatkan sebagai cukup bermakna itu.
Tambahnya, penganugerahan tersebut membuktikan bahawa bidang seni kreatif kini bukan lagi sekadar hiburan, malah merupakan sebuah profesion yang dihormati dan diiktiraf oleh dunia akademik.
“Pengiktirafan ini membuktikan bahawa bidang seni kreatif dan media adalah satu profesion yang sangat berprestij dan dihormati oleh dunia akademik.
“Semoga anugerah ini menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda dan pengamal seni tempatan untuk terus berkarya dengan mutu yang tinggi, beretika dan membawa seni budaya kita ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya. -UTUSAN










