JEMPOL: Orang Melayu dan bumiputera yang merupakan majoriti dalam negara ini perlu bertanggungjawab menjaga semua kaum termasuk masyarakat minoriti.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Malaysia dibina sebagai sebuah negara masyarakat majmuk sejak mencapai kemerdekaan dan keharmonian antara kaum perlu terus dipelihara.
Katanya, pemimpin Melayu dan bumiputera perlu memainkan peranan dalam memastikan semua masyarakat mendapat perhatian tanpa mengira latar belakang kaum.
“Saya tak tahu dalam konteks apa dia (Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor) bercakap. Tetapi negara Malaysia ini, pada mula kita mendapat kemerdekaan, kita ini satu negara yang kita panggil masyarakat majmuk.
“Tetapi majoriti dia orang Melayu. Jadi kalau kita nak jadi pemimpin dalam negara kita ini sebagai orang Melayu, bumiputera yang merupakan majoriti dalam negara Malaysia, kita mesti bertanggungjawab untuk menjaga semua kaum dalam negara, termasuklah kaum-kaum minoriti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Bilik Gerakan Cawangan Felda Palong 3, di sini hari ini.
Turut hadir calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Palong, Datuk Mustapha Nagoor.
Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, usaha membina negara tidak boleh dilakukan dengan pendekatan yang hanya menumpukan kepada satu kelompok kaum sahaja.
Katanya, walaupun UMNO merupakan parti Melayu, parti itu memilih menggunakan platform BN ketika menghadapi pilihan raya kerana gabungan tersebut merangkumi pelbagai kaum dan agama.
“Sebab itu kalau kita Melayu-Melayu, India-India macam-macam, it doesn’t work.
“Kalau UMNO ini parti Melayu. Tapi bila kita pergi pilihan raya, kita tak pakai parti UMNO ini, kita pakai BN.
“Sebab BN ini merangkumi semua. Semua masyarakat, kaum, agama dekat dalam negara kita.
“Kita duduk dalam BN, Cina ada, India ada. Dulu sebelum Sabah, Sarawak bersama-sama kita, ada 14 parti dalam BN,” katanya.-UTUSAN










