Sektor pembuatan catat pertumbuhan 5.9%

Sektor pembuatan catat pertumbuhan 5.9%

SIM TZE TZIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sektor pembuatan mencatatkan peningkatan nilai tambah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.9 peratus pada suku pertama tahun ini selepas dua tahun pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, nilai tambah sektor pembuatan meningkat kepada RM101.3 bilion berbanding RM95.7 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

Katanya, sektor elektrik dan elektronik (E&E) terus menjadi pemacu utama pertumbuhan, disokong oleh kitaran peningkatan permintaan teknologi global serta peningkatan pengeluaran semikonduktor.

“Selain sektor E&E, subsektor produk petroleum bertapis turut mencatat sumbangan nilai ditambah kedua tertinggi berikutan kadar penggunaan kapasiti yang lebih tinggi.

“Segmen bahan kimia dan produk kimia pula berkembang selaras dengan pengukuhan permintaan industri,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Sheikh ’Umar Bagharib Ali berhubung perkembangan pelaksanaan NIMP 2030 serta pencapaiannya dalam meningkatkan produktiviti dan penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Mengulas lanjut, Tze Tzin berkata, kerajaan mengutamakan pembangunan PKS menerusi pelbagai program di bawah NIMP 2030 bagi mewujudkan sektor perindustrian yang lebih inklusif, berdaya tahan dan mampan.

Katanya, antara inisiatif utama di bawah pelan itu ialah Program Smart Tech Up yang disokong menerusi Dana Pembangunan Industri NIMP 2030 (NIDF) bagi mempercepat automasi dan pendigitalan PKS selaras sasaran mewujudkan 3,000 kilang pintar menjelang 2030.

“Setakat 30 Jun lalu, sebanyak 32 kilang telah dikenal pasti sebagai kilang pintar di bawah Program Smart Tech Up, manakala 61 syarikat lagi menerima pengiktirafan sebagai kilang pintar di bawah Program Pengiktirafan Kilang Pintar oleh SIRIM dan MARii.

“Secara keseluruhan, 93 syarikat telah menerima pengiktirafan sebagai kilang pintar setakat 30 Jun lalu dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 161 syarikat menjelang Disember tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, PKS dan syarikat pertengahan (MTC) turut menerima manfaat menerusi Dana Pelaburan Bersama Strategik NIMP 2030 (CoSIF), iaitu skim padanan pelaburan antara kerajaan dan pelabur swasta bagi menyokong pelaksanaan projek berimpak tinggi yang selaras dengan misi NIMP 2030.

“Sehingga 30 Jun lalu, sebanyak 40 syarikat PKS dan MTC daripada sektor E&E, bahan kimia, farmaseutikal, pemprosesan makanan dan ICT telah menerima pembiayaan di bawah dana ini dengan jumlah suntikan kerajaan mencecah RM75 juta.

“Penglibatan syarikat PKS akan terus dipertingkatkan menerusi pelbagai program dan inisiatif di bawah NIMP 2030 termasuk pembangunan aspek kelestarian, pemerkasaan rantaian nilai serta pembangunan produktiviti di peringkat negeri bagi membantu syarikat terus berdaya maju dan meningkatkan produktiviti ke rantaian nilai yang lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN