PETALING JAYA: Sektor automotif dan komponen dijangka kekal sederhana berikutan risiko pendapatan yang dipengaruhi persaingan pasaran yang semakin sengit serta pergerakan kadar pertukaran asing yang tidak memihak kepada pengeluar kenderaan, menurut CIMB Research.
Bagaimanapun, firma penyelidikan menjangkakan jumlah keseluruhan industri (TIV) akan mencatat prestasi lebih kukuh pada separuh kedua tahun kewangan 2026, disokong oleh kesinambungan subsidi, faktor bermusim, momentum kenderaan elektrik (EV) dan keadaan pembiayaan yang stabil.
CIMB Research berkata, pihaknya mengekalkan penarafan “neutral” terhadap sektor berkenaan berkata, TIV bagi lima bulan pertama 2026 (5M26) susut 1.2 peratus tahun ke tahun kepada 315,476 unit, namun prestasi dijangka pulih pada separuh kedua tahun ini.
“TIV bagi 5M26 mewakili 40.4 peratus daripada unjuran kami sebanyak 780,000 unit bagi tahun kewangan 2026. Kami menjangkakan 2H26 akan lebih kukuh sejajar dengan corak bermusim yang lazim berlaku,” katanya dalam nota penyelidikan.
Menurut CIMB Research, prestasi lebih baik itu akan dipacu oleh kesinambungan program subsidi Budi95 serta peluasan subsidi Budi Diesel.
Berdasarkan pandangan Persatuan Automotif Malaysia (MAA), peluasan program Budi Diesel dijangka merangsang semula permintaan bagi segmen trak pikap selepas jualannya merosot 16.7 peratus tahun ke tahun dalam tempoh lima bulan pertama 2026.
Pada masa sama, jualan EV dijangka terus berkembang pada separuh kedua 2026 hasil kempen promosi yang lebih agresif serta peningkatan pengeluaran oleh pengeluar automotif nasional seperti Proton dan Perodua.
Kedua-dua syarikat itu dijangka meningkatkan pengeluaran domestik susulan dasar kerajaan yang menaikkan ambang minimum kos, insurans dan tambang (CIF) kepada RM200,000 serta menurunkan syarat minimum kuasa motor kepada 180 kilowatt (kW), sekali gus menjadikan EV pemasangan tempatan lebih berdaya saing.
CIMB Research berpandangan perubahan dasar itu tidak akan menjejaskan penggunaan EV dalam jangka panjang kerana permintaan pengguna kekal kukuh.
“Kami percaya kebanyakan pengeluar EV akan memberi tumpuan kepada pembangunan keupayaan pemasangan tempatan bagi mengekalkan daya saing memandangkan insentif bagi EV pemasangan tempatan (CKD) masih diteruskan sehingga akhir 2027.
“Langkah ini dijangka menggalakkan lebih banyak pelaburan dalam ekosistem pemasangan tempatan serta menyokong pertumbuhan jangka panjang industri EV negara,” katanya.
Selain itu, firma penyelidikan itu berkata, tiada kenaikan kadar faedah oleh bank pusat, sekali gus membantu mengekalkan kemampuan pembeli dalam segmen pasaran massa dan menyokong jualan kenderaan baharu pada separuh kedua tahun ini.
CIMB Research mengunjurkan keuntungan bersih sektor automotif meningkat 6.9 peratus tahun ke tahun bagi tahun kewangan 2026, didorong terutamanya oleh sumbangan pendapatan lebih kukuh daripada Sime Darby, susulan prestasi stabil operasi perindustriannya di Australia serta pemulihan perniagaan China Motors.
“Namun begitu, risiko terhadap pendapatan masih wujud akibat persaingan yang semakin sengit dan tekanan kadar pertukaran mata wang, dengan kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat berpotensi menjejaskan margin keuntungan pengeluar automotif,” katanya.
CIMB Research mengekalkan unjuran TIV sebanyak 780,000 unit bagi tahun kewangan 2026, sedikit lebih rendah daripada jangkaan MAA sebanyak 790,000 unit, mengambil kira persekitaran makroekonomi yang mencabar serta tekanan inflasi susulan konflik di Asia Barat.
Dari segi pilihan pelaburan, firma penyelidikan itu memilih Bermaz Auto dan HI Mobility sebagai saham pilihan sektor.
Bermaz Auto dijangka mencatat pemulihan pendapatan yang kukuh pada tahun kewangan 2027, disokong pelancaran model baharu CX-5 serta pemulihan prestasi syarikat bersekutu, manakala MBM Resources dijangka merekodkan pendapatan lebih rendah pada tahun kewangan 2026 berikutan penurunan jualan Perodua akibat persaingan yang semakin sengit daripada Proton. – UTUSAN










