Sepanyol masih ada senjata rahsia?

Sepanyol masih ada senjata rahsia?

BINTANG Sepanyol, Lamine Yamal mengawal bola ketika diasak oleh pemain tengah Austria, Paul Wanner dalam perlawanan pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 Stadium Los Angeles, semalam yang berkesudahan Sepanyol menang 3-0.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INGLEWOOD: Pengendali Sepanyol, Luis de la Fuente memberi amaran anak-anak buahnya supaya tidak cepat berpuas hati walaupun melangkah bergaya ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 selepas membelasah Austria 3-0 di Stadium Los Angeles, semalam.

Kemenangan meyakinkan itu bukan sahaja mengekalkan rekod tanpa bolos Sepanyol pada kejohanan kali ini, malah mengukuhkan status mereka sebagai antara calon utama menjulang trofi dunia.

“Saya mempunyai banyak sebab untuk bergembira hari ini kerana kami menang dengan cukup meyakinkan dan corak permainan pasukan sangat luar biasa, namun masih banyak ruang yang perlu diperbaiki.

“Mungkin anda fikir ini aksi terbaik kami, tetapi saya boleh katakan pasukan ini masih belum mencapai kemampuan sebenar dan masih banyak lagi yang boleh ditampilkan,” kata De la Fuente.

Jurulatih berusia 65 tahun itu menegaskan kemaraan Sepanyol bukan dibina menerusi satu persembahan hebat semata-mata, sebaliknya hasil proses pembangunan berterusan yang perlu dipertingkatkan apabila saingan kalah mati semakin mencabar.

“Persembahan hari ini perlu menjadi asas kepada apa yang bakal kami lakukan selepas ini kerana kami mahu terus berkembang dan kami masih belum berpuas hati, sebaliknya mahu melangkah lebih jauh.”

“Apabila terlalu dipuji dan mula mempercayainya, ketika itulah anda menjadi semakin lemah kerana rasa puas hati mampu membunuh sesebuah pasukan,” katanya.

Dalam masa sama, De la Fuente turut memuji pertahanan kiri, Marc Cucurella yang mencipta dua bantuan gol buat Mikel Oyarzabal, sekali gus menyifatkan pemain itu sebagai aset penting ketika Sepanyol bersiap sedia menghadapi cabaran menentang Portugal pada aksi pusingan 16 terbaik pada Selasa ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN