Ahli Parlimen Taiwan teliti bajet dron pertahan negara - Utusan Malaysia

Ahli Parlimen Taiwan teliti bajet dron pertahan negara

LAI Ching-te (tengah) meninjau latihan anggota pasukan simpanan mengendalikan dron Hummer 2 di Pusat Perkhidmatan Taman Perindustrian Loung Te, daerah Yilan.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPEI: Ahli-ahli Parlimen Taiwan bersetuju meneliti beberapa cadangan peruntukan bagi pembangunan dron yang berpotensi digunakan untuk mempertahankan pulau itu sekiranya berlaku serangan dari China.

Kerajaan Presiden, Lai Ching-te sebelum ini berdepan pertikaian dengan parti-parti pembangkang yang menguasai Parlimen berhubung jumlah perbelanjaan bagi memperkukuh keupayaan pertahanan Taiwan.

China menuntut Taiwan se­bagai sebahagian daripada wi­layahnya dan berulang kali mengancam untuk menggunakan kekerasan bagi mengambil alih pulau itu.

Kerajaan Ching-te yang berdepan tekanan kuat daripada Amerika Syarikat (AS) supaya meningkatkan perbelanjaan pertahanan, bercadang memperuntukkan sehingga NT$210 bilion (RM26 bilion) dalam tempoh lebih lima tahun bagi memba­ngunkan dron buatan Taiwan.

Peruntukan itu meliputi pembangunan pelbagai jenis kende­raan tanpa pemandu termasuk dron pemantauan pesisir pantai, dron serangan dan dron permukaan.

Sementara itu, parti pembangkang utama, Kuomintang (KMT) yang menyokong hubungan lebih rapat dengan China, mencadangkan peruntukan lebih besar iaitu NT$240 bilion (RM30.5 bilion) bagi tempoh enam tahun.

Bagaimanapun, KMT mahu perbelanjaan itu dihadkan kepada NT$40 bilion (RM5 bilion) setahun dan dimasukkan ke dalam belanjawan tahunan kerajaan.

Pada Jumaat, Ahli Parlimen mengundi untuk merujuk rang undang-undang berkaitan, termasuk cadangan kerajaan dan KMT kepada jawatankuasa Parlimen bagi penelitian lanjut.

Ching-te memberi amaran cadangan KMT untuk memasukkan peruntukan dron ke dalam belanjawan tahunan akan me­ngurangkan dana bagi perbelanjaan penting lain seperti pendi­dikan dan kebajikan sosial. Beliau turut berkata, langkah itu boleh menyukarkan kerajaan meme­nuhi keperluan pembangunan ketenteraan dengan segera.

Namun, Ahli Parlimen KMT, Jonathan Lin mempertahankan cadangan itu dengan menyatakan pembangunan pertahanan negara merupakan usaha jangka panjang dan tidak sepatutnya menggunakan belanjawan khas sebagai cara untuk mengelakkan penelitian Parlimen.

Sementara itu, wakil tertinggi AS di Taipei, Raymond Greene pada Khamis menyifatkan dron sebagai peluang yang mampu mengubah landskap keselamatan Taiwan serta mengukuhkan keamanan serantau.

Menurut beliau, tiada pendekatan yang lebih berkesan untuk menghalang konflik selain menjadikan Taiwan sebagai ‘sarang tebuan’ yang dipenuhi dron udara, permukaan dan bawah permukaan. Namun, usa­ha itu memerlukan pelaburan yang dirancang dengan teliti.

Pada Mei lalu, KMT bersama Parti Rakyat Taiwan meluluskan belanjawan khas pertahanan berjumlah AS$25 bilion (RM101.7 bilion), iaitu kira-kira satu pertiga lebih rendah daripada jumlah yang diminta oleh Parti Progresif Demokratik pimpinan Ching-te.

Pembangkang turut menggugurkan kira-kira AS$15 bilion (RM61.02 bilion) yang dicadangkan kerajaan bagi perolehan dron tempatan dan beberapa inisiatif lain untuk memperkukuh pertahanan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN